Episod perjalanan hidupku telah membawaku
sehingga ke Kuala Terengganu. Di rumah saudaraku ini, aku berasa amat kekok
kerana layanan mereka yang sangat baik terhadapku. Makan minumku yang
diberikan, kadang- kala membuatku terpaksa menolak. Badan yang kurus kering pun
boleh jadi gemuk dalam sekelip mata jika asyik disogokkan dengan makanan
sahaja. Memandangkan aku sudah biasa membuat kerja, aku tetap menjalankan kerja
harianku seperti biasa walaupun tidak disuruh kerana aku ini sudahlah menumpang
di rumah ini tanpa apa- apa bayaran. Apa salahnya jika aku ingin membantu. Jika
duduk diam sahaja tanpa berbuat apa- apa, badanku menjadi bisa- bisa dan otak
pun menjadi beku.
Pada satu petang, sebaik sahaja saudaraku balik
dari kerja, dia terus menyuruhku bersiap segera dan mengikutnya ke Padang Golf.
“Abdullah, cepat siap! Boleh ikut Ami ke padang
golf.” Arahnya dengan tergesa- gesa.
“Fulamakkk…
Padang golf… Nak ajar aku main golf ke?” getus hatiku.
Perkataan golf pun belum pernah aku sebut dan
dengar sebelum ini. Kini, aku dipelawa pula ke padang golf itu.
Sebaik sahaja sampai ke padang golf, aku diminta
untuk menurunkan sebuang beg yang panjang berisi kayu dan batang besi untuk
kegunaan permainan golf itu nanti. Rupa- rupanya, tugasku hanyalah mengheret
beg yang golf itu dan sekali sekala aku menyandangnya di atas bahuku.
“Boleh
tahan berat beg ni.” aku merungut di dalam hati.
Seterusnya aku harus memberi kayu atau batang
besi golf itu kepada saudaraku jika dia memintaku berbuat sedemikian. Pening
aku dibuatnya. Lain kayu, lain nombornya. Begitu juga dengan batang besi atau ‘iron’ yang kerap disebut di kalangan
pemain golf itu. Patutlah ‘wood’ dan
‘iron’ itu berbeza saiznya.
Pukul… Jalan…. Pukul… Jalan…. Itulah yang kerap
dilakukan oleh bapa saudaraku setelah memukul bola masuk ke dalam lubang.
Setiap kali pukul, terpaksa berjalan sehingga 500 meter. Apalah seronoknya
permainan ini. Bagiku, permainan ini amat bosan. Aku pun ketika itu sudah ada
kawan yang tugasnya pun sama sepertiku. Dengan selamba aku bertanya.
“Saudara, kerja yang kita buat ini apa jawatanya
ya?”
“Keddy, saudara.” Pendek sahaja jawapan yang
diberikan.
Banyak betul ilmuku. Lain rumah, lain tugasnya.
Lain negeri, lain pula jawatanku. Tak sampai sebulan, aku sudah pandai
menghulurkan batang golf tampa perlu menyebut nombor batang tersebut. Ini baru
sebulan, kalau enam bulan pasti aku sudah bertaraf ‘Pro’.
Kawan yang aku tegur itu tadi tiba- tiba
bersuara seperti berbisik di telingaku.
“Saudara, permainan ini orang macam kita tak
boleh main.” Katanya dengan nada berbisik.
Sebelum dia smpat bercakap dengan lebih lanjut,
aku pun cepat- cepat menyampuk.
“Memang pun, saudara. Mereka berpangkat besar.
Kita kucing kurap hanya layak buat kerja seperti ini sahaja.” balasku agar dia
faham.
“Bukan kira pangkat, saudara. Saudara tahu tak
Golf itu apa maksudnya?” tanyanya padaku.
Manalah aku tahu. Aku baru beberapa hari sahaja
berada di padang ini.
“Apa maksudnya?” soalku kembali dengan nada
ingin tahu.
“Saudara…… Saudara perasan tak. Pukul bola,
selepas itu berjalan. Kemudian, pukul lagi supaya masuk ke dalam lubang dan
seterusnya sama sahaja sehinggalah menginjak waktu magrib. Orang- orang ini
semua, otaknya ada masalah.” Selamba sahaja dia menjawab seakan- akan mengutuk.
“Saudara, G.O.L.F itu maksudnya “Golongan Orang
Lemah Fikiran”. Sebab itulah saya kata kita tak layak untuk bermain permainan
ini.” Jelasnya lagi agar aku mengerti maksud yang cuba disampaikan itu.
“Ishh… Kalay bos saudara dengar kata- kata
saudara itu, dengan batang golf ini juga ang akan hinggap ke kepala saudara
nanti.” Tegurku.
“Dah.. Jangan cerita banyak. Ayuh tarik beg
ini.” Kataku lagi.
Aku pun menarik beg dan meninggalkan dia. Banyak
pula songeh Keddy ni. Kalau bos dia lemah fikiran, dia dan aku ini apa pula
penyakit dan kelemahannya?
Walaupun air muka saudaraku ini seolah- olah
seperti ‘singa sarkas’, tetapi dia tidak pernah lokek untuk memberi upah penat
lelahku ini. Ada sahaja habuanku. Dengan duit inilah aku belajar berjimat
cermat dan mengumpulkannya untuk masa akan datang.
Jika hari cuti,
aku diberi peluang untuk menonton wayang di pawagam. Tiket pun bukan tempat
duduk yang ada pijat- pijat, tetapi aku diberi tempat duduk di tingkat atas
atau nama ‘glamour’nya disebut
sebagai ‘Circle Seat’. Kalau tak
salah, panggung wayang itu betul- betul bertentangan dengan Hotel Livo. Ketika
itu, Hotel Livo inilah yang paling gah dan merupakan satu sahaja hotel yang ada
di Kuala Terengganu. Di sebelah kiri pula terdapat jalan yang menghala ke Jalan
Bukit Cina.
Aku masih
mengingati tempat- tempat ini walaupun masa yang berlalu sudah hampir 45 tahun.
No comments:
Post a Comment