Pages

16 February 2015

BAB 18 : ALAM PEKERJAAN


                        Dengan usaha dan bantuan sepupuku, aku pun melaporkan diri di Pejabat Pengarah JKR Seremban dan pada hari itu juga aku ditempatkan di Jalan Templar. Di sudut dinding terpampang ‘Senior Executive Engineer’s Office’, JKR Jalan Templar, Seremban, Negeri Sembilan. Mungkin ketika itu penggunaan bahasa Malaysia tidak begitu meluas. Aku sendiri berbicara  sesama staf dalam bahasa Inggeris. Aku tidak berasa janggal kerana dari darjah satu, aku memang dari dari aliran Inggeris. ‘Speaking’ aku boleh tahan ‘berhabuk’ juga. Kalau ada ‘broken’ sikit- sikit memang patutlah kerana aku kelulusan L.C.E sahaja. Sekarang, Pejabat JKR Jalan Templar itu sudah tidak wujud, yang kelihatan hanya bangunan baru yang menempatkan “Kentucky Fried Chicken”.
Aku mula bertugas dan ditempatkan di Cawangan Jalan. Di bawah jagaanku ada 40 pekerja bawahan. Kebanyakannya anak muda kampung yang baru saja tamat latihan di Dusun Tua. Aku bekerja bersungguh- sungguh kecuali hari sabtu dan ahad. Aku bercampur dengan anak- anak muda di bawah jagaanku yang duduk beramai- ramai di sebuah kuarters di Mambau yang terletak di simpang menghala ke Kuala Sabah dari Pekan Rantau. Rata- rata pekerjaku dari anak- anak muda kampung yang sudah terbiasa dengan kerja yang lasak dan susah. Walaupun mesra dalam persahabatan, namun sifat hormat kepadaku tetap dijaga oleh mereka. Suatu hari, seorang pekerja bawahan berjumpa denganku sambil mempelawa.
“Encik, esok cuti. Jadi kami berempat hendak masuk hutan. Encik hendak ikut sekali?” begitulah pelawaan pekerja bawahanku.
“Masuk hutan? Hendak cari apa?” soalku kembali yang pelik dengan pelawaannya untuk masuk ke hutan itu.
“Kami hendak cari jering dan petai, encik.” Jelasnya dengan muka selamba.
“Encik jangan buat apa- apa. Mungkin Encik tak biasa. Kami sudah biasa masuk ke dalam hutan. Jika kami dapat petai dan jering, kita akan bahagikan sama rata termasuk Encik.”
 Baik betul niat pekerjaku itu.
“Memang ada jering dan petai ke dalam hutan tu?” ghairahku ingin tahu.
“Lebih dari itu pun ada, Encik. Pokok durian pun ada. Pak belang pun ada. Pendek kata, semua ada!” balasnya lagi.
Aku hanya mampu mendengar tetapi sukar untuk mempercayainya.
“Semua itu hak siapa? Tak salah ke kalau kita ambil?”
Hairan juga aku kerana tak mungkin pokok- pokok itu tumbuh tanpa tuannya.
“Sebenarnya, pokok- pokok itu tumbuh dengan semula jadi, Encik. Kalau hendak dikirakan, semua itu hak kerajaan. Salah kalau kena tangkap, tapi tak kena tangkap, tak salahlah!” usiknya.
Eh.. Eh. Ehh.. Undang- undang apa pula yang budak- budak ni cipta?” getusku dalam hati.
“Semua hasil tumbuhan dalam hutan itu, boleh diambil, Encik. Ada jabatan yang telah mengeluarkan lesen. Kalau tidak silap saya, RM 5 setahun.” Jelasnya kembali seoalah- olah dia memang sudah biasa dengan aktiviti begini.
“Baiklah. Esok saya akan ikut serta kamu semua.” Jawabku ringkas. Padahal dalam hati ghairah hendak mencuba.
Pada keesokan harinya, lebih kurang sejam berjalan dalam hutan, akhirnya kami jumpa juga pokok petai yang sangat tinggi dan lebat buahnya. Di sudut paya, kelihatan pokok yang agak kehitaman di penuhi dengan jering. Tiba- tiba sahaja perasaanku berasa amat seronok. Puas aku merenung pokok petai yang melangit tinggi itu. Aku pun bertanya.
“Tinggi betul pokok ini. Pangkalnya pun besar pemeluk. Apa kaedah untuk mengambil petai- petai itu?”
Jujur aku katakan, aku memang tidak nampak jalan bagaimana caranya untuk memetik petai itu.
“Encik bertenang sahaja. Sebentar lagi Encik akan melihat pekerja Encik ini memanjat pokok ini macam monyet.” Sahut pekerjaku yang seorang lagi yang selamba sahaja mengelar kawannya monyet.
Sedang asyik berborak, kawannya sudah sampai di hujung dahan pokok petai yang tinggi itu.
“Kami semua profesional, Encik. Kami tidak perlukan sigai untuk memanjat.” Sambung pekerjaku lagi.
“Sigai itu apa bendanya pula?” Tidak pernah pula aku dengar sebelum ini.
“Ohh. Sigai itu galah panjang, Encik. Kita akan lekapkan di batang pokok untuk memanjat. Tapi cara itu bererti pemanjat itu belum ‘pro’ lagi.” jelasnya sambil memetik api di sebatang rokok.
“Seumur hidup saya, saya tidak pernah melihat orang memanjat pokok petai. Lebih- lebih lagi bergayut di hujung dahan. Terlalu berbahaya.” Aku mencelah sambil menggelengkan kepala.
“Ohh. Budak- budak kampung ini semuanya berani mati, Encik.” Selorohnya lagi.
Setelah hampir pukul empat, kami berlima pun keluar dari hutan. Kasihan juga aku melihat cara pekerjaku membawa jering dan petai untuk dibawa keluar dari hutan itu.
Sebaik sahaja sampai di kuarters, aku diberi lebih kurang 5 kati petai dan 5 kati jering. Terlalu banyak buatku lalu aku sedekahkan separuh kepada jiran berhampiran.
“Minggu depan Encik hendak ikut kami lagi?” saran Johari, pekerjaku yang merupakan monyet yang memanjat pokok petai itu.
“Nak masuk hutan lagi ke?” soalku dengan nada kepenatan walaupun satu kerja pun aku tidak buat.
“Tidak, Encik. Minggu depan kami bercadang nak ‘mengoncal’ malam kat Sungai Landak. Atas sikit sahaja melepasi ampangan.” Jawabnya.
“Mengoncal? Binatang apa pula itu?”
Pelik betul bahasa budak- budak ini.” Komenku di dalam hati.
“Meraba, Encik. Bukan meraba orang tau. Tetapi meraba ikan yang ada di celah- celah kayu atau batu di waktu malam dengan menggunakan tangan. Kami orang Negeri Sembilan sebut ‘mengoncal’. Tetapi di tempat lain, kami tidak tahu apa yang disebutnya.” Jelasnya dengan terperinci padaku.
“Ishh. Ini kerja gila. Sia- sia sahaja di patuk ular.” Aku membalas kembali dengan perasaan takut dan ngeri.
“Tak gila, Encik. Kami sudah’pro’ dan kami dapat membezakan antara ular dan ikan.” Johari memberi jaminan akan kebolehannya itu.
“Encik cubalah nanti minggu depan ya?” sambungnya lagi.
“Ohh. Taubat nasuha saya kalau macam ini. Kalau diberi ganjaran sekalipun, sampai mati saya tidak akan buatnya.” Jelasku terus- terang.
“Senang sahaja, Encik. Ketika sedang meraba dalam air itu, Encik jangan tekan kuat- kuat. Kalau ada rasa gerakan kesat, baru Encik tekan. Tapi kalau lain macam saja licinnya, cepat- cepat lepaskannya.” Petua dan cara yang diajar oleh Johari.
“Yang kesat itu apa? Yang licin itu apa?” Ingin juga aku tahu untuk membezakannya nanti.
“Yang kesat itu ikan, Encik. Yang licin itu, ular.” Selamba sahaja Johari menerangkan.
“Tidak mengapalah, Johari. Tinggi sangat ilmu awak. Kalau saya ikut pun, biarlah saya sekadar berada di atas tebing sambil menyuluh apa yang kamu dapat ya? Itu lebih selamat.” Syaratku jika ingin turut serta. Itu sahaja yang mampu aku lakukan.
“Tak boleh, Encik. Kalau Encik suluh, nasib dan nyawa Encik yang akan lebih terancam!” tegas Johari seolah- olah memberi amaran padaku.
“Kenapa pula nasib saya yang lebih terancam? Saya tak sentuh pun ikan atau ular dalam air itu.” jawabku yang agak hairan dengan amaran Johari itu tadi.
“Encik… Di tebing sungai itu, banyak ular ‘batang tebu’ atau ‘tiong’! Ular ini siangnya buta, tapi bila malam, pantang ular ini nampak cahaya lampu suluh. Ular ini sangat berbisa, Encik. Encik jalan dalam gelap, itu lagi selamat!” Panjang betul Johari jelaskan sebabnya.
Dalam hatiku sudah berbelah bahagi. Besar kemungkinannya aku tidak akan ikut serta. Aku wajib sediakan 1001 alasan dengan harapan pekerjaku tidak akan berkecil hati kelak.
Mereka terus ke Sungai Landak seperti yang telah dirancang. Di sini aku sedar, pekerjaku semuanya memang anak kampung jati. Mereka mahir dalam semua selok- belok hutan mahupun sungai. Aku berani angkat tangan dan tabik atas kebolehan mereka. Walaupun tidak ikut serta, mereka tetap membawa hasilnya untuk diberikan kepadaku. Begitulah baiknya pekerja bawahanku.

Dalam keseronokan, aku juga perlu banyak membaca kerana aku akan menghadapi peperiksaan dan wajib lulus dalam tempoh percubaanku ini. Zamanku dahulu, kalau gagal peperiksaan jabatan dalam tempoh percubaan, tempoh dan peluang akan diberi setahun lagi. tetapi, jika gagal juga, maka bersiap sedialah untuk diberhentikan.

Terima Kasih

No comments:

>
© DI SEBALIK CERITA INI | Design By Blog Bingkisan Hati