Pages

23 February 2015

BAB 24 : HIDANGAN DAN TEMPAT SOLAT

                        Semua kejadian aneh yang aku alami, aku rahsiakan buat seketika dari pengetahuan Mak Long walaupun aku kerap menziarahinya. Begitu juga dengan kakitangan pejabat, tidak terlintas pun aku hendak menceritakannya. Kalau diceritakan pun, takut- takut nanti jadi bahan lawak dan ketawa di pejabat.
Kali ini, aku terperasan baju yang aku gantung di penyangkut baju telah beralih tempat. Bajuku sudah berada dalam bekas yang digunakan untuk menyimpan pakaian yang hendak dibasuh. (Bekas ini masih lagi aku simpan sebagai kenangan)
Di meja makan, lain pula ceritanya. Pinggan makan, mangkuk lauk dan bekas membasuh tangan telah tersedia. Siap ditutupi dengan tudung saji lagi. Hanya sekadar pinggan dan mangkuk sahajalah.  Nasi dan lauk tidak kelihatan pula. Kalau ada, boleh juga makan sama ada makan tengah hari ataupun makan malam. Buat harap hati aku saja.
Ketika aku hendak berulang- alik dapur mahupun ke bilik, aku kerap berselisih dengan seorang wanita berambut panjang yang amat cantik. Malang sekali, pandanganku sekadar di hujung mata sahaja. Tidak pula bertatapan seperti mata bertentang mata. Ketika selisih itulah bau yang wangi menyelusup ke dalam hidungku.
Sekali lagi ketika aku sedang mandi, lampuku terpadam seperti biasa dan kali ini aku menjerit.
“Bukankah ini waktu Maghrib? Daripada engkau main suis lampu, lebih baik engkau siapkan sejadah dan juga rehal untuk aku hendak mengaji lepas solat Maghrib nanti!” Arahanku seolah- olah ada orang yang mendiami kuarters ini bersamaku sedangkan aku sedar hanya aku seorang sahaja penghuninya.
Ketika itu aku mula tersedar akan kata- kata Mak Long. Patutlah Mak Long amat takut dan risau jika aku bercakap berseorangan seperti orang gila.
Sebaik sahaja selesai mandi dan mengambil wuduk, aku pun masuk ke dalam bilik untuk mengerjakan solat Magrib. Alangkah terperanjatnya apabila aku melihat dua sejadah telah siap terbentang beserta rehal dan al-Quran disebelahnya. Dua sejadah itu yang paling ketara kerana satu untuk imam dan satu lagi untuk makmum. Kali ini aku tidak dapat merahsiakannya lagi kejadian- kejadian aneh ini daripada pengetahuan Mak Long. Petang itu juga sebaik tamat waktu bekerja, aku terus menuju ke rumah Mak Long dan menceritakan setiap insiden yang berlaku di rumah itu. Sebaik sahaja aku menceritakan segala- galanya, Mak Long terus memelukku sambil merayu.
“Pindahlah, nak. Pindah. Nanti engkau akan gila cakap berseorangan dan tidak mustahil engkau akan hilang entah ke mana suatu hari nanti. Mak Long takut engkau akan di bawa masuk ke dalam hutan oleh perempuan bunian itu.” rayu Mak Long sambil mengesat air matanya.
Cakap siapa lagi yang harus aku taati? Bukankah aku telah menganggap Mak Long umpama ibu kandungku? Maka eloklah aku buat persediaan untuk meninggalkan sahaja kuarters yang berpenghuni bunian itu. Tidak ada apa- apa yang aku bawa kecuali beg pakaian sahaja. Selainnya, hak milik kerajaan. Namun, aku amat berminat untuk mengambil bekas yang digunakan untuk meletakkan pakaian kotor itu untuk dibawa bersamaku. Benda ini merupakan barangan lama yang sangat antik dan tidak mungkin boleh dimiliki pada masa kini.

Tidak lama selepas itu, aku telah dinaikkan pangkat dan berpindah ke Melaka. Aku masih hairan dengan semua kejadian aneh yang aku alami selama dua bulan menetap di kuarters itu. Mak Long yang aku kasihi juga telah kembali ke Rahmatullah. Semua ini akan aku jadikan kenangan yang tidak mungkin akan aku lupa selagi hayat dikandung badan.

Terima Kasih

No comments:

>
© DI SEBALIK CERITA INI | Design By Blog Bingkisan Hati