Pages

23 February 2015

BAB 22 : TERAGAK HENDAK MEMOHON KUARTERS

Setelah sekian lama duduk menyewa, akhirnya aku teragak pula ingin merasai duduk di kuarters kerajaan. Kebetulan pula ketika itu kuarters banyak kosong dan untuk memohon bagi mendapatkan kelulusan tidak begitu sukar. Malah boleh pilih mana- mana kuarters yang diingini. Daripada dibiarkan terbengkalai, elok juga ada penghuninya dan ada juga peruntukan untuk kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kuarters pula merupakan sahabatku yang agak rapat. Dalam begitu banyak kuarters yang kosong, hatiku amat tertarik dengan sebuat kuarters banglo yang terletak di atas bukit di tepi jalan menghala ke Pekan Rantau, Negeri Sembilan. Walaupun kuarters tersebut dikhaskan kepada pegawai yang bertugas di Loji Penapisan Air, Sungai Linggi, namun tidak ada seorang pun yang berminat untuk mendudukinya.
            Aku pun berbincang dengan pegawai yang menguruskan kuarters atas hasratku untuk menduduki kuarters tersebut. Tanpa banyak soal, aku disuruh mengisi borang dan setelah itu kunci diserahkan kepadaku. Potongan untuk menyewa kuarters itu hanyalah RM 6.00 sahaja. Bayangkan, bezanya jika menyewa rumah di luar, pasti banyak yang aku berjaya jimat. Sejujurnya, kuarters itu memang bukan taraf aku. Hanya yang berjawatan jurutera dan pembantunya sahaja yang layak mendudukinya. Tetapi, memandangkan kuarters tersebut telah lebih kurang 30 tahun tanpa penghuni, maka aku diberi peluang untuk mendudukinya tanpa mengira pangkat. Jarak dari kuarters ke pejabat agak jauh juga. Namun, tidak ada halangan buatku. Yang penting, tempat itu agak sunyi dari hiruk- pikuk bandar.
            Sebaik mendapat kunci, keesokan harinya juga aku serahkan pekerja bawahanku untuk membasuh rumah dan memesin rumput di kawasan halaman kuartersku. Kuarters ini memiliki empat bilik tidur dan dua bilik mandi serta tandas dan yang paling seronoknya kuarters ini dilengkapi dengan perabot walaupun sudah agak berhabuk. Dalam tempoh dua hari, kuarters ini sudah kelihat berseri. Kuarters besar tetapi hanya aku seorang sahaja yang mendiaminya.
            Beberapa hari aku menduduki rumah ini, segalanya seperti biasa sahaja. Tetapi yang membuatku musykil ialah bau wangi setiap kali hendak masuk waktu magrib. Wanginya seperti direnjis dengan minyak wangi dan semerbak harumannya di dalam rumahku. Walaupun musykil, namun tidak ada sedikit pun perasaan takut yang terbit dalam diriku. Banyak juga cerita- cerita tahyol yang pernah aku dengar, tetapi aku hanya menganggap semuanya hanyalah rekaan semata- mata atau perasaan mereka sahaja. Cerita hantu dan syaitan tidak pernah tercatat dalam hati mahupun dalam kepala otakku.
            Pada suatu petang, aku sedang berdiri di perkarangan kuarters. Tiba- tiba ada seorang wanita tua berusia dalam lingkungan 70an sedang menunggu bas lalu menegurku.
            “Anak duduk di kuarters itu ke?” soalnya.
            “Ya, mak cik. Kenapa ya?” soalku kembali yang ghairah ingin tahu.
            “Mak cik orang lama di sini, nak. Rumah mak cik betul- betul di simpang antara Ulu Labang dan Pekan Rantau. Risau betul mak cik kerana anak duduk di dalam rumah itu.” jawabnya tanpa menjelaskan sebabnya.
            “Kenapa mak cik risau?” aku terus bertanya.
            “Anggaplah mak cik seperti emak dan panggillah mak cik dengan panggilan Mak Long sahaja. Begini, rumah itu ada penunggu, nak. Jika ada masa lapang, datanglah ke rumah Mak Long. Nanti Mak Long akan jelas semuanya mengenai rumah itu.”
            Begitulah panjang lebar penjelasan wanita tua itu. Bas pun sudah sampai, maka cerita selanjutnya tidak dapat kuketahui..
            Keesokan harinya merupakan cuti minggu, maka aku mengambil kesempatan untuk datang ke rumah Mak Long kerana ingin mengetahui lebih lanjut mengenai ‘penunggu’ yang dimaksudkan itu.
            Sebaik sahaja tiba di rumah Mak Long, aku memberi salam dan keluarlah Mak Long untuk menyambutku seperti seorang ibu menyambut kepulangan anaknya. aku mengucup tangannya yang sudah berkedut itu. Ketika itu juga aku menitiskan air mata.
            “Kenapa anak menagis selepas salam Mak Long?” soalnya.
            “Ketika saya menyium tangan Mak Long tadi, saya terbayangkan wajah arwah ibu saya yang telah meinggal dunia ketika saya berusia 5 tahun.” Jelasku kepada Mak Long.
            “Tidak mengapa, nak. Semua itu ujian Tuan. Mak Long pun hanya ada dua orang anak. Seorang perempuan sudah berkahwin dan seorang lelaki namanya Yusof. Dia sudah agak berumur sikit tapi belum berkahwin kerana kerjanya tidak mentu. Jadi macam mana hendak menjaga anak orang.” Panjang mukadimah Mak Long.
            “Tak apalah, Mak Long. Kebetulan saya ini pun tidak ada mak ayah dan kuarters yang saya duduki itu pun tidak jauh dari rumah Mak Long. Jadi, dapatlah saya sekali sekala ziarah Mak Long. Bolehkan, Mak Long?” Aku menawarkan diri.
            “Ya Allah, nak. Sepuluh jari Mak Long menadah tangan kepada Allah SWT. Mak Long terima anak umpama anak kandung Mak Long sendiri.”

            Selepas dijamu dengan teh O’ dan kerepek kering, Mak Long pun memulakan ceritanya tentang kuarters yang aku duduki itu.

Terima Kasih

No comments:

>
© DI SEBALIK CERITA INI | Design By Blog Bingkisan Hati