Pages

14 February 2015

BAB 16 : TERINGIN HENDAK PULANG KE KUALA TERENGGANU

          Dalam perjalanan pulang, aku seolah- olah tidak percaya yang aku bukan sahaja sekadar berjaya menghadiri temu duga, bahkan aku juga telah berjaya ditawarkan jawatan yang aku pohon itu. Aku mula memasang angan- angan sebagai seorang kakitangan kerajaan. Tetapi aku tidak boleh terlalu ghairah atau terlalu yakin selagi aku belum menerima surat hitam putih yang mengatakan aku berjaya ditawarkan jawatan tersebut.
            Aku sempat singgah di kedai gambar untuk memetik gambarku sebagai kenangan. Harga pun tidak sampai RM 2.00. Aku tidak kisah kerana duit dalam dompetku sedang penuh dan berat. Selepas tiga hari, aku pun pergi untuk mengambil gambarku yang sudah siap. Geli hatiku apabila melihat wajahku yang ‘posing’ seperti ‘filemstar’. Tali leher itu yang nampak lebih terserlah kerana berbelang seperti ‘zebra crossing’ di zoo. Seluar dan baju tak ketara sangat, tetapi jangan pasang kipas kerana pasti terserlah seperti ‘cicak kubing’ dalam kelonsong.
             Selepas dua hari berehat, aku pun bersiap untuk pulang ke Kuala Terengganu. Main golf kononnya. Saudaraku terperanjat apabila melihat aku sudah tercegat di hadapan rumahnya. Pada malam harinya, rumah saudaraku riuh rendah dengan gelak ketawa apabila aku menceritakan kisah temu dugaku dan tak kurang juga aku menokok tambah sedikit sebagai rencah cerita.
            Keesokan harinya, ketika saudaraku sedang menuju ke padang golf, sempat juga dia memberitahu padaku bahawa jika aku tidak mendapat kerja pun tidak mengapa. Dia juga sedang mengusahakan unuk memasukkan aku untuk menjadi polis sebagai ‘constable’ biasa.
           Pada sebelah malam pula, banyak masa terluang yang aku isikan dengan berangan. Ketika itu juga aku teringatkan arwah ibu bapaku. Alangkah sedihnya jika mereka berdua dapat melihat liku- liku hidupku sebagai anak yatim piatu. Ketika asyik berangan dan fikiran jauh melayang, akhirnya aku terlelap dalam mimpi. Semoga hari- hari mendatang memberi sinar dalam hidupku.
            Seperti biasa, pagi- pagi lagi aku telah memulakan tugas membersihkan longkang, mop lantai, dan membuat apa yang patut di dapur. Semua kerja ini aku lakukan tanpa diberi arahan dan tidak mengharapkan upah. Cukuplah aku dapat menumpang untuk berteduh dari panas dan hujan serta sesuap dua nasi yang masuk ke dalam mulutku. Tetapi, mereka kekok denganku kerana semua tugas aku lakukan dengan penuh tanggungjawab.
          Pada waktu petang pula, semua peralatan golf telah aku siapkan dan letakkan di depan pintu. Hanya menunggu untuk dimasukkan ke dalam ‘boot’ sahaja. Walaupun iras wajah saudaraku agak garang, tetapi sebenarnya dia amat baik dan tidak pernah bakhil denganku. Setiap keringatku tetap ada habuan tersendiri. Duit dalam dompet pun sudah agak lumayan. Kebolehanku sebagai ‘Keddy’ juga sudah meningkat dan sekali sekala dapat juga membuat pukulan di ‘Driving Range’.
          Baru hendak masuk dua bulan, sekali lagi aku diminta pulang ke Melaka. Kali ini pastinya aku sudah mendapat surat tawaran jawatan. Sekiranya aku balik kali ini, sudah tentu aku tidak akan pulang lagi ke Kuala Terengganu. Sedih juga apabila mengenangkan saudaraku terpaksa mencari ‘Keddy’ lain. Bukan susah untuk mendapatkannya cuma upahnya agak mahal sedikit jika dibandingkan bayaranku tanpa mengikut kadar bayaran sebenar.
         Demi masa depanku, aku harus pulang ke Melaka. Bukan senang hendak mendapat peluang bekerja dengan kerajaan. Aku meminta izin dan mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberi layanan yang sangat baik terhadapku semasa menumpang di rumah mereka.
Keesokan harinya, aku dihantar seperti biasa ke Teminal Bas  untuk pulang ke Melaka. Banyak nasihat yang diberikan ketika menuju ke Terminal. Begitu juga dengan duit belanja sewaktu perjalanan nanti. Bayangkan, ketika ini duit dalam dompetku berjumlah RM 304.50. Ditambah pula dengan RM 50 yang baru diterima ini .
           “Fulamakkk…. Aku ada RM 354.50!” kataku di dalam hati.
           Lebih lima kali aku kira wang tersebut kerana takut tersilap kira. Aku mencium duit itu. inilah duit hasil kudrat dan titik peluhku.
        Ketika pemandu bas berhenti rehat, aku pun turun untuk menjamu selera. Aku menempah makanan pun dengan yakin sahaja. maklumlah dompet sudah ‘loaded’.

Terima Kasih

No comments:

>
© DI SEBALIK CERITA INI | Design By Blog Bingkisan Hati