Pages

16 February 2015

BAB 17 : SURAT TAWARAN

SURAT TAWARAN

            Perjalanan pulang ke Melaka kali ini merupakan detik perubahan buat diriku kerana aku tidak mungkin lagi akan ke hulu ke hilir demi sesuap nasi. Pastinya aku akan melangkah ke alam pekerjaan yang akan menjamin masa depanku kelak. Tidak terlintas di benak fikiranku yang hanya memiliki kelulusan yang tidak seberapa itu dengan mudahnya memperolehi pekerjaan di Jabatan Kerajaan dan diterima terus sewaktu menghadiri temu duga tempoh hari itu. Bukankah semua ini urusan Allah SWT?
Meniti dari zaman kanak- kanak hingga kini yang telah mengambil masa lebih kurang 13 tahun selepas kematian ibu bapaku bukanlah satu perjalanan hidup yang mudah. Lebih- lebih lagi aku telah katakan, setiap penderitaan, kesengsaraan, dan keperitan serta kesusahan pasti ada hikmahnya. Semua itu di sisi ilmu Allah SWT dan merupakan rahsia kepada hambaNya. Sebagai hamba Allah, wajib bagi setiap insan yang beriman redha dengan ketentuanNya. Bagiku, wajib aku bersyukur dan banyak bersujud kepada Allah SWT dengan anugerah kehidupan begini agar aku tidak lupa di hari mendatang lebih- lebih lagi apabila dikurniakan nikmat kesenangan.
Banyak contoh dan tauladan yang boleh kita ambil iktibar. Sifat manusia ini, apabila ditimpa dengan kesusahan dan kesempitan hidup, mereka akan menadah tangan berdoa sambil menitiskan air mata, tetapi apabila Allah SWT melepaskan mereka dari belenggu kesusahan, nescaya amat sedikit yang mahu bersyukur.
Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud,
Sekiranya kamu mensyukuri nikmatKu, nescaya akanKu tambahkan nikmatKu ke atas kamu. Dan sekiranya kamu kufur, maka azabKu amat pedih.” (Ayat 7, Surah Ibrahim)
Sebaik sahaja sampai ke rumah di Melaka, aku diserahkan dengan surat yang tertera di atasnya ‘Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)’. Aku membukanya dengan teliti dan membaca isi kandungannya. Di dalamnya lengkap tercatit jawatan yang ditawarkan, tangga gaji, potongan simpanan pekerja, tempoh percubaan, serta tempat yang perlu aku melaporkan diri nanti. Di samping itu, ada juga dokumen yang aku lengkapkan serta ‘medical check-up’ yang harus aku serahkan semula secepat mungkin.

 Jawatan                 : Juruteknik Rendah.
 Tarikh Lapor Diri : 1 Oktober 1970.
 Tempat                  : JKR Ibu Pejabat JKR Seremban, Negeri Sembilan.

SubhanAllah… Meleleh air mataku. Aku membuat perbandingan seketika dengan sahabat sekampung yang memiliki sijil SPM dengan Gred 3, namun masih menganggur. Aku pula yang baru mencapai usia 18 tahun 2 bulan sudah mendapat tawaran bekerja dengan Jabatan Kerajaan. Jawatan tetap dan berpencen pula. Ketika itu juga aku terbayangkan ketiga- tiga pegawai yang menemu dugaku tempoh hari. Terlintas juga dalam hati hendak mencari mereka untuk mengucapkan terima kasih. Tetapi dimanakah mereka? Walaupun di mana mereka berada, semoga Allah SWT melimpahkan rahmat dan rezeki kepada ketiga- tiganya itu.
Dengan tawaran ini, aku perlu bersiap sedia dengan segala keperluan. Sehelai dua pakaian pun sudah cukup untuk dimasukkan ke dalam beg galas. Ibu saudaraku juga membekalkan ikan bilis goreng sambal untuk aku jadikan lauk. Bagaimana hendak ke Seremban, aku sendiri tidak tahu. Apatah lagi hendak tinggal di mana. Pejabat JKR Ibu Pejabat pun aku tidak tahu entah di mana. Namun, kerisauanku terubat apabila ada seorang sepupuku ketika itu bekerja di Seremban sebagai seorang kakitangan pejabat Risda. Dia menyewa rumah di Jalan Rasah bersama dengan empat orang sahabatnya yang bekerja di pelbagai jabatan dan jawatan. Atas usahanya, akhirnya aku dibawa untuk melaporkan diri serta ditumpangkan buat seketika dirumahnya.

Terima Kasih

No comments:

>
© DI SEBALIK CERITA INI | Design By Blog Bingkisan Hati