Pages

23 February 2015

BAB 25 : KENAIKAN PANGKAT

Lulusnya aku dalam peperiksaan juruteknik sekaligus melayakkan aku memohon jawatan tersebut. Kelulusan akedemik L.C.E yang aku miliki sudah tidak di ambil kira lagi. Sebaliknya, peperiksaan yang lulus itu sudah membuat aku setaraf dengan juruteknik yang berkelulusan Politeknik Ungku Omar. Maha suci Allah SWT yang mengatur perjalanan setiap hambaNya. Begitu juga rezeki dan lain- lainnya. Tidak sampai setahun, aku telah memohon jawatan juruteknik. Aku dipanggil untuk temu duga dan terus menyandang jawatan tersebut.
            Kini, aku kelihatan ‘smart’ seperti bintang filem. Maklum saja sudah mencari rezeki sendiri serta sudah boleh membeli baju dan seluar yang bersesuaian dengan kemampuanku. Alhamdulillah, sedikit demi sedikit, setapak demi setapak dapat juga juga aku nikmati kesenangan hidup. Aku kerap berdoa kepada Allah SWT agar aku sentiasa ingat untuk sujud kepadaNya ketika susah mahupun senang dan aku amat takut jika aku termasuk dalam golongan hamba yang kufur nikmat.
            Azamku terlalu kuat untuk meningkat dalam kerjaya. Aku diberi peluang untuk menambahkan ilmu dalam bidang teknikal di Technical College di Jalan Gurney, Kuala Lumpur (Kini UTM Jalan Semarak). Aku meninggalkan pengajianku separuh jalan untuk menumpukan tugas untuk memohon pula jawatan Juruteknik Tingkatan Kanan. Aku lebih suka cara begini daripada belajar di Technical College untuk menggenggam segulung Diploma mahupun Ijazah. Cukup sahajalah aku dengan sehelai sijil L.C.E. Tuan Pengarah, Jurutera Kanan, dan semuanya memberi aku perangsang dan semangat agar aku terus maju. Kini, aku sekali lagi menduduki kertas peperiksaan untuk melayakkanku ke jawatan Juruteknik Tingkatan Kanan.
            Peperiksaan ini sama seperti peperiksaan terdahulu. Aku harus menunggu selama enam bulan untuk mendapatkan keputusannya. SubhanAllah… Aku telah berjaya membuktikan sekali lagi kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan ini. Dengan lulusnya peperiksaan ini, aku dipindahkan dan ditempatkan di JKR Cawangan Tentera, Kem Terendak Melaka dan seterusnya di Bandar Baru Serting, Bahau Negeri Sembilan. Kini, kedudukan jawatanku telah meninggalkan juruteknik- juruteknik lain ke belakang. Ada yang masih kekal dengan jawatan tersebut tanpa kenaikan pangkat dan ada juga telah diberhentikan atau dibuang kerja.

            Semasa di Seremban, dalam kesibukan masa, aku juga sempat mendirikan rumah tangga. Namun, isteriku meninggal dunia dengan meninggalkan zuriat lelaki bernama Syed Muzaffar bin Syed Abdullah.

Terima Kasih

BAB 24 : HIDANGAN DAN TEMPAT SOLAT

                        Semua kejadian aneh yang aku alami, aku rahsiakan buat seketika dari pengetahuan Mak Long walaupun aku kerap menziarahinya. Begitu juga dengan kakitangan pejabat, tidak terlintas pun aku hendak menceritakannya. Kalau diceritakan pun, takut- takut nanti jadi bahan lawak dan ketawa di pejabat.
Kali ini, aku terperasan baju yang aku gantung di penyangkut baju telah beralih tempat. Bajuku sudah berada dalam bekas yang digunakan untuk menyimpan pakaian yang hendak dibasuh. (Bekas ini masih lagi aku simpan sebagai kenangan)
Di meja makan, lain pula ceritanya. Pinggan makan, mangkuk lauk dan bekas membasuh tangan telah tersedia. Siap ditutupi dengan tudung saji lagi. Hanya sekadar pinggan dan mangkuk sahajalah.  Nasi dan lauk tidak kelihatan pula. Kalau ada, boleh juga makan sama ada makan tengah hari ataupun makan malam. Buat harap hati aku saja.
Ketika aku hendak berulang- alik dapur mahupun ke bilik, aku kerap berselisih dengan seorang wanita berambut panjang yang amat cantik. Malang sekali, pandanganku sekadar di hujung mata sahaja. Tidak pula bertatapan seperti mata bertentang mata. Ketika selisih itulah bau yang wangi menyelusup ke dalam hidungku.
Sekali lagi ketika aku sedang mandi, lampuku terpadam seperti biasa dan kali ini aku menjerit.
“Bukankah ini waktu Maghrib? Daripada engkau main suis lampu, lebih baik engkau siapkan sejadah dan juga rehal untuk aku hendak mengaji lepas solat Maghrib nanti!” Arahanku seolah- olah ada orang yang mendiami kuarters ini bersamaku sedangkan aku sedar hanya aku seorang sahaja penghuninya.
Ketika itu aku mula tersedar akan kata- kata Mak Long. Patutlah Mak Long amat takut dan risau jika aku bercakap berseorangan seperti orang gila.
Sebaik sahaja selesai mandi dan mengambil wuduk, aku pun masuk ke dalam bilik untuk mengerjakan solat Magrib. Alangkah terperanjatnya apabila aku melihat dua sejadah telah siap terbentang beserta rehal dan al-Quran disebelahnya. Dua sejadah itu yang paling ketara kerana satu untuk imam dan satu lagi untuk makmum. Kali ini aku tidak dapat merahsiakannya lagi kejadian- kejadian aneh ini daripada pengetahuan Mak Long. Petang itu juga sebaik tamat waktu bekerja, aku terus menuju ke rumah Mak Long dan menceritakan setiap insiden yang berlaku di rumah itu. Sebaik sahaja aku menceritakan segala- galanya, Mak Long terus memelukku sambil merayu.
“Pindahlah, nak. Pindah. Nanti engkau akan gila cakap berseorangan dan tidak mustahil engkau akan hilang entah ke mana suatu hari nanti. Mak Long takut engkau akan di bawa masuk ke dalam hutan oleh perempuan bunian itu.” rayu Mak Long sambil mengesat air matanya.
Cakap siapa lagi yang harus aku taati? Bukankah aku telah menganggap Mak Long umpama ibu kandungku? Maka eloklah aku buat persediaan untuk meninggalkan sahaja kuarters yang berpenghuni bunian itu. Tidak ada apa- apa yang aku bawa kecuali beg pakaian sahaja. Selainnya, hak milik kerajaan. Namun, aku amat berminat untuk mengambil bekas yang digunakan untuk meletakkan pakaian kotor itu untuk dibawa bersamaku. Benda ini merupakan barangan lama yang sangat antik dan tidak mungkin boleh dimiliki pada masa kini.

Tidak lama selepas itu, aku telah dinaikkan pangkat dan berpindah ke Melaka. Aku masih hairan dengan semua kejadian aneh yang aku alami selama dua bulan menetap di kuarters itu. Mak Long yang aku kasihi juga telah kembali ke Rahmatullah. Semua ini akan aku jadikan kenangan yang tidak mungkin akan aku lupa selagi hayat dikandung badan.

Terima Kasih

BAB 23 : RUMAH ITU ADA BUNIAN

                        “Anak tahu tak, rumah yang anak duduk itu ada penghuni. Kalau tak silap Mak Long penghuni itu jenis ‘Bunian’. Anak tak rasa apa- apa ke?” soal Mak Long.
“Tak pula, Mak Long. Cuma, bila hendak masuk waktu Maghrib sahaja rumah itu mula berbau semerbak dengan wangian.” Aku menjelaskan apa yang aku alami.
“Macam inilah, nak. Kalau anak nak dengar cakap Mak Long, janganlah tinggal lama di dalam rumah itu. Mak Long takut akhirnya engkau cakap sorang- sorang aje, nak.” Jelas Mak Long yang agak menghairankan aku.
Kenapa mesti cakap sorang- sorang macam orang gila?” bisikku di dalam hati.
Aku meneruskan perbualan. Ketika itu sudah masuk waktu asar.
“Baiklah, Mak Long. Nasihat Mak Long akan saya turuti. Tetapi, memandangkan saya baru saja menduduki kuarters itu, biarlah saya duduk buat seketika. Nanti apa pula kata pegawai yang memberi kunci kuarters itu. Seolah- olah saya main- mainkan dia saja. Saya harap Mak Long faham ya?” jelasku agar Mak Long mengerti maksudku.
Sayang pula hendak serahkan kembali kuarters itu. Lagipun aku tidak nampak pula benda- benda yang menakutkan selain wangian sebelum Maghrib. Aku meminta izin Mak Long, untuk pulang ke kuarters kerana hari sudah lewat petang. Aku mencium tangan Mak Long sekali lagi dan terus beredar.
Genap sepuluh hari aku menduduki kuarters itu dan malam ke sebelas ini agak pelik sedikit. Ketika sedang mandi, tiba- tiba suis lampu ditutup. Meraba- raba aku di dalam bilik air. Cepat- cepat aku keluar dan memasang semula suis tersebut. Aku menyambung kembali mandi yang tidak sudah tadi dan tidak kurang enam atau tujuh kali suis lampu ditutup lagi. Namun, perasaanku tidak goyah atau takut tetapi lebih mengesyaki bahawa suis situ yang mungkin bermasalah.
Ketika aku sedang solat pula, paip air tiba- tiba terpasang dengan derasnya. Begitu juga dengan lampu. Selesai sahaja aku mendirikan solat, aku terus menutup paip dan suis lampu. Ketika itu juga paip dan lampu bilik air utama pula yang terpasang. Terduduk aku di lantai sambil memikirkan fenomena yang tidak pernah aku alami selama ini.
“Pergi mampuslah dengan engkau. Malas aku hendak melayan.” Begitulah aku menyumpahnya dan terus menonton televisyen.
Wallahi.. Wabillahi.. Wattakallahi… Bukanlah aku hendak menokok tambah cerita tetapi inilah yang berlaku ketika ini dan di depan mata dan kepalaku. Tidak cukup dengan api dan air yang kerap terpasang dan tertutup dengan sendirinya, kini satu demi satu batu bergolek di atas lantai ke arah aku menonton televisyen. Aku mengutip batu- batu itu dan memasukkannya ke dalam tin. Penuh juga tin itu dengan batu- batu. Ketika ini aku sudah agak beremosi sedikit sambil menjerit.
“Apa benda ni?! Lampulah! Airlah! Sekarang main dengan batu pula! Daripada baling batu, lebih elok kalau baling kemenyan.” Bentakku sepenuh hati.
Tak perlu tunggu lama. Kali ini kemenyan pula yang datang bergolek. Baru sekarang hatiku terbit perasaan takut. Tapi, belum lagi sampai ke tahap kecut perut mahu terkencing.
Waktu malam pula sewaktu aku hendak melelapkan mata, wangian atas katilku harum semerbak umpaman katil pengantin. Disebabkan terlalu wangi, aku pun mengambil bantal dan pindah di bilik sebelah. Aku tidak pasti tika itu jam berapa kerana sebaik sahaja aku tersedar, aku sudah berada di bilik asal tadi.

Banyak lagi adegan- adegan yang sukar dijelaskan secara logik yang bakal menyusul kemudian.

Terima Kasih

BAB 22 : TERAGAK HENDAK MEMOHON KUARTERS

Setelah sekian lama duduk menyewa, akhirnya aku teragak pula ingin merasai duduk di kuarters kerajaan. Kebetulan pula ketika itu kuarters banyak kosong dan untuk memohon bagi mendapatkan kelulusan tidak begitu sukar. Malah boleh pilih mana- mana kuarters yang diingini. Daripada dibiarkan terbengkalai, elok juga ada penghuninya dan ada juga peruntukan untuk kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kuarters pula merupakan sahabatku yang agak rapat. Dalam begitu banyak kuarters yang kosong, hatiku amat tertarik dengan sebuat kuarters banglo yang terletak di atas bukit di tepi jalan menghala ke Pekan Rantau, Negeri Sembilan. Walaupun kuarters tersebut dikhaskan kepada pegawai yang bertugas di Loji Penapisan Air, Sungai Linggi, namun tidak ada seorang pun yang berminat untuk mendudukinya.
            Aku pun berbincang dengan pegawai yang menguruskan kuarters atas hasratku untuk menduduki kuarters tersebut. Tanpa banyak soal, aku disuruh mengisi borang dan setelah itu kunci diserahkan kepadaku. Potongan untuk menyewa kuarters itu hanyalah RM 6.00 sahaja. Bayangkan, bezanya jika menyewa rumah di luar, pasti banyak yang aku berjaya jimat. Sejujurnya, kuarters itu memang bukan taraf aku. Hanya yang berjawatan jurutera dan pembantunya sahaja yang layak mendudukinya. Tetapi, memandangkan kuarters tersebut telah lebih kurang 30 tahun tanpa penghuni, maka aku diberi peluang untuk mendudukinya tanpa mengira pangkat. Jarak dari kuarters ke pejabat agak jauh juga. Namun, tidak ada halangan buatku. Yang penting, tempat itu agak sunyi dari hiruk- pikuk bandar.
            Sebaik mendapat kunci, keesokan harinya juga aku serahkan pekerja bawahanku untuk membasuh rumah dan memesin rumput di kawasan halaman kuartersku. Kuarters ini memiliki empat bilik tidur dan dua bilik mandi serta tandas dan yang paling seronoknya kuarters ini dilengkapi dengan perabot walaupun sudah agak berhabuk. Dalam tempoh dua hari, kuarters ini sudah kelihat berseri. Kuarters besar tetapi hanya aku seorang sahaja yang mendiaminya.
            Beberapa hari aku menduduki rumah ini, segalanya seperti biasa sahaja. Tetapi yang membuatku musykil ialah bau wangi setiap kali hendak masuk waktu magrib. Wanginya seperti direnjis dengan minyak wangi dan semerbak harumannya di dalam rumahku. Walaupun musykil, namun tidak ada sedikit pun perasaan takut yang terbit dalam diriku. Banyak juga cerita- cerita tahyol yang pernah aku dengar, tetapi aku hanya menganggap semuanya hanyalah rekaan semata- mata atau perasaan mereka sahaja. Cerita hantu dan syaitan tidak pernah tercatat dalam hati mahupun dalam kepala otakku.
            Pada suatu petang, aku sedang berdiri di perkarangan kuarters. Tiba- tiba ada seorang wanita tua berusia dalam lingkungan 70an sedang menunggu bas lalu menegurku.
            “Anak duduk di kuarters itu ke?” soalnya.
            “Ya, mak cik. Kenapa ya?” soalku kembali yang ghairah ingin tahu.
            “Mak cik orang lama di sini, nak. Rumah mak cik betul- betul di simpang antara Ulu Labang dan Pekan Rantau. Risau betul mak cik kerana anak duduk di dalam rumah itu.” jawabnya tanpa menjelaskan sebabnya.
            “Kenapa mak cik risau?” aku terus bertanya.
            “Anggaplah mak cik seperti emak dan panggillah mak cik dengan panggilan Mak Long sahaja. Begini, rumah itu ada penunggu, nak. Jika ada masa lapang, datanglah ke rumah Mak Long. Nanti Mak Long akan jelas semuanya mengenai rumah itu.”
            Begitulah panjang lebar penjelasan wanita tua itu. Bas pun sudah sampai, maka cerita selanjutnya tidak dapat kuketahui..
            Keesokan harinya merupakan cuti minggu, maka aku mengambil kesempatan untuk datang ke rumah Mak Long kerana ingin mengetahui lebih lanjut mengenai ‘penunggu’ yang dimaksudkan itu.
            Sebaik sahaja tiba di rumah Mak Long, aku memberi salam dan keluarlah Mak Long untuk menyambutku seperti seorang ibu menyambut kepulangan anaknya. aku mengucup tangannya yang sudah berkedut itu. Ketika itu juga aku menitiskan air mata.
            “Kenapa anak menagis selepas salam Mak Long?” soalnya.
            “Ketika saya menyium tangan Mak Long tadi, saya terbayangkan wajah arwah ibu saya yang telah meinggal dunia ketika saya berusia 5 tahun.” Jelasku kepada Mak Long.
            “Tidak mengapa, nak. Semua itu ujian Tuan. Mak Long pun hanya ada dua orang anak. Seorang perempuan sudah berkahwin dan seorang lelaki namanya Yusof. Dia sudah agak berumur sikit tapi belum berkahwin kerana kerjanya tidak mentu. Jadi macam mana hendak menjaga anak orang.” Panjang mukadimah Mak Long.
            “Tak apalah, Mak Long. Kebetulan saya ini pun tidak ada mak ayah dan kuarters yang saya duduki itu pun tidak jauh dari rumah Mak Long. Jadi, dapatlah saya sekali sekala ziarah Mak Long. Bolehkan, Mak Long?” Aku menawarkan diri.
            “Ya Allah, nak. Sepuluh jari Mak Long menadah tangan kepada Allah SWT. Mak Long terima anak umpama anak kandung Mak Long sendiri.”

            Selepas dijamu dengan teh O’ dan kerepek kering, Mak Long pun memulakan ceritanya tentang kuarters yang aku duduki itu.

Terima Kasih

BAB 21 : KEPUTUSAN PEPERIKSAAN


                        Setelah sekian lama menunggu, akhirnya aku mendengar khabar bahawa keputusan peperiksaan kini telah sampai ke Pejabat Pengarah JKR Negeri Sembilan. Ketika itu, pengarahnya Dato’ IR Talha dan timbalannya, Dato’ IR Md Din Babjee dan keputusan itu memang sudah berada di tangan Tuan Pengarah cuma belum dimaklumkan kepada calon sahaja.
            Selepas seminggu, barulah semua calon yang telah menduduki peperiksaan tersebut diminta hadir di Bilik Gerakan Pejabat Pengarah jam 8.30 pagi. Jam 8.10 pagi, semua calon telah hadir dan duduk di kerusi sambil menunggu keputusan yang mendebarkan yang akan disampaikan sendiri oleh Tuan Pengarah. Kedengaran bisik- bisikan sesame calon dan tidak kurang juga ada yang kelihatan pucat lesi.
            Tepat jam 8.30 pagi, Tuan Pengarah tiba bersama timbalannya serta setiausaha sulit beliau. Semua calon yang berada disitu terus berdiri sejurus melihat ketibaan mereka.
“Good morning, Sir.”
Memandangkan ketika zaman itu tidak ramai yang beragama Islam, maka untuk memberi saalam adalah tidak wajar. Sedangkan semua urusan surat menyurat semuanya dalam bahasa Inggeris.
“Morining.” Ringkas sahaja Tuan Pengarah membalas ucapan. Perkataan ‘good’ pun tidak disebutnya. Sambil membelek- belek setiap keputusan dengan menggelengkan kepala, semua yang hadir sudah tahu bahawa pasti ada yang tidak kena dengan Tuan Pengarah. Tiba- tiba sahaja Tuan Pengarah bersuara.
Who is Syed Abdullah B Syed Hussein?” soalnya secara tiba- tiba.
Orang tua ni tanya kea tau marah ni?” getus aku dalam hati lalu berdiri.
I am Syed Abdullah Bin Syed Hussein, Sir.” Balasku.
Dia tanya pendek, jadi aku pun jawab pendek sahajalah.
Dengan nada yang agak tinggi dank eras, Tuan Pengarah meneruskan kata- katanya.
If this type of result you achieved, especially in this technical line, I think it’s time for all of you to apply for a non-technical post. Don’t ruin the image and reputation of JKR!”
Emosi betul Tuan Pengarah ni. Keputusan aku teruk sangat ke?” bisikku di dalam hati.
Tadi namaku dipanggilnya. Pasti keputusanku teruk. Aku yang duduk di kerusi belakang sudah memasang niat. Sekiranya kata- kata Tuan Pengarah itu benar- benar ditujukan khas untukku, aku taubat nasuha daripada mengambul peperiksaan ini lagi untuk tahun- tahun berikutnya.
Tuan Pengarah membebel lagi.
27 technician and 1 junior technician. Your ranking is equivalent to your college in Johore, Malacca and Pahang. Are the examination questions too difficult?
Semua terdiam dan membisukan diri masing- masing. Sunyi seolah- olah sedang bertafakur di atas tanah perkuburan.
“Syed Abdullah..”
Eh? Nama aku lagi kena sebut. Kenapa ni? Kes berat ke? Keputusan aku terlampau teruk ke? Atau aku tidak boleh lagi mengambil peperiksaan ini di masa akan datang?” soalku yang diajukan kepada diri sendiri.
Yes, Sir!
Apa lagi aku hendak jawab. Sudah dua kali namaku disebut. Takkanlah bapa tidak kenal anak. Bukankah tadi dia sudah katakana 27 juruteknik dan seorang juruteknik rendah. Yang rendah itu akulah, siapa lagi?
What is your post?” soalnya.
Junior Technician, Sir.” Spontan sahaja aku menjawab.
Your qualification?
Laa… Melarat kepada keputusan pula.
Lower Certificate of Education with 7 credits, Sir.” Aku menjawab dengan kreditnya sekali.
Matilah aku kalau Tuan Pengarah kutuk aku depan semua calon. Cukuplah dulu semua juruteknik kutuk aku sewaktu hendak mengambil peperiksaan jabatan ini. Tapi kali ini, kalau Tuan Pengarah yang kutuk, bermakna ramai jugalah yang bodoh macam aku. Tidaklah aku berasa malu sangat.
Tuan Pengarah masih tidak berpuas hati dan terus membebel.
Syed, stand up and tell your friends how you achieved your grade.
‘Grade’ apa pula Tuan Pengarah ni. Suka atau tidak, aku pun bangun dan cakap ala kadar.
Actually, I share my success with IF Thomas Thamboo, Sir. He helped me so much. Aport of it, it was my initiative  to study hard.
Ok kot komen aku ni.” getus hatiku lagi.
Hear that! Shame on you. Qualified from a leading polytechnic yet a candidate with L.C.E got through all the papers with flying colors. Congratulations, Syed!” balas Tuan Pengarah.
Eh.. Eh.. Rupa- rupanya aku lulus dengan cemerlang.” Kataku di dalam hati dengan gembiranya.
Thank you, Sir!” balasku lalu terus duduk.
Tuan Pengarah pun menyerahkan keputusan slip peperiksaan kepada setiausaha sulitnya dan terus meninggalkan Bilik Gerakan bersama timbalannya. Setiausaha sulit itu memanggil nama setiap calon dan menyerahkan keputusan masing- masing. Sebaik sahaja aku menerima slip keputusanku, aku terus beradar tanpa berminat hendak berbual dengan sesiapa pun.
Seminggu lebih Pejabat JKR heboh dengan kejayaanku. Juruteknik- juruteknik yang pernah mengutukku dulu semuanya tertuduk malu. Kini aku bermunajat kepada Allah SWT atas kejayaan ku ini. Aku juga terus berjumpa dengan jurutera IR.Thomas Thamboo untuk memberitahu kejayaanku serta mengucapkan terima kasih kepadanya.

Kini, aku berjalan berkepak. Sekurang- kurangnya tidak ada juruteknik yang akan membodohkan atau menghinaku lagi. aku bukannya riak, tetapi aku sudah lama memendam perasaan ini. Dengan keputusan yang aku perolehi, mudahlah aku memohon jawatan juruteknik sekiranya masih ada kekosongan.

Terima Kasih

21 February 2015

BAB 20 : HARI PEPERIKSAAN


                        Sampailah masa dan waktu yang dinanti- nantikan. Maka peperiksaan jabatan telah pun diadakan di Dewan Kolej Tengku Kursiah, Jalan Sikamat Seremban. Kesemua calon terdiri daripada 27 calon juruteknik dan 1 calon juruteknik rendah. 6 calon dari Jelebu, 4 calon dari Tampin, 12 calon dari Seremban termasuk aku, 4 calon dari Port Dikson, dan 2 calon dari Kuala Pilah. Aku mulakan langkah kanan memasuki dewan dengan lafaz ‘bismillah’. Sebelum peperiksaan bermula, aku menadah tangan bermunajat kepada Allah SWT agar dipermudahkan urusanku untuk menjawab soalan peperiksaan ini.
            Peperiksaan ini mengambil masa selama dua hari. Aku akui, kertas soalannya memang susah dan amat mencabar. Tetapi, aku pasrah kepada Allah SWT kerana aku telah berusaha dan aku yakin Allah pasti akan permudahkan urusanku.
            “Ya Allah.. Aku telah berusaha. KepadaMu aku memohon dan kepadaMu jua aku berserah diri.” doaku di dalam hati.
            Aku mengharapkan kejayaan tetapi sekiranya aku gagal, sedikit pun tidak akan mengugat jawatan dan kejayaanku. Sedangkan bagi juruteknik- juruteknik yang lain, ada yang diberi peluang terakhir dan ada juga yang sudah boleh buat persediaan untuk diberhentikan jika gagal

            Keputusan peperiksaan tersebut akan diumumkan paling awal dalam tempoh enam bulan.

Terima Kasih

BAB 19 : PEPERIKSAAN JABATAN


                        Atas usaha gigihku, Alhamdulillah, dalam tempoh dua tahun aku telah lulus peperiksaan yang diwajibkannya itu iaitu subjek ‘Road Construction’ dan juga ‘General Paper’. Pekerja yang galagal, masih terkial- kial. Pekerja yang sudah tamat tempoh percubaan pula agak risau akan nasib yang tidak pasti. Kejayaanku lebih kepada berusaha bersungguh- sungguh dengan azam dan cita- cita untuk meningkatkan diri jika diizinkan Allah SWT. Tidak lupa juga janjiku kepada pegawai yang menemu dugaku dahulu. Jawatan yang aku sandang hanyalah Juruteknik Rendah sedangkan banyak Juruteknik yang berkelulusan dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh.
Peperiksaan yang aku lulus pun bukan merupakan kelayakan untuk kenaikan pangkat, cuma sekadar menetapkan aku dalam jawatan tetap dan disahkan dalam jabatan sahaja. Peluang untuk aku naik pangkat masih terbuka dengan syarat aku mesti berani mengambil peperiksaan Juruteknik yang di adakan setahun sekali. Syaratnya, wajib lulus kesemua empat kertas atau mata pelajaran iaitu ‘Survey’, ‘Road / Building Construction’, ‘Reinforced Concrete’, dan ‘Estimating’. Semua kertas ini menggunakan bahasa Inggeris. Dengar sahaja keempat- empat kertas tersebut, aku sudah mati kutu. Macam mana aku hendak hadapinya lebih- lebih lagi untuk lulus dengan cemerlang.
Azamku kuat. Cita- citaku juga tinggi. Caranya mudah iaitu aku mesti berusaha bersungguh- sungguh. Dengan izin Allah SWT, aku pasti akan berjaya.
Selepas hampir lima tahun aku dalam Bahagian Jalan, aku pun memohon melalui Ketua Jabatan agar aku diberi peluang untuk ditukarkan di Bahagian Bangunan. Alhamdulillah. Permohonanku tidak dipersiakan. Tidak sampai satu bulan, aku telah pun ditukarkan ke Bahagian Bangunan. Banyak yang aku tidak tahu dan banyak juga perkara baru yang harus aku pelajari. Selepas genap setahun, aku pun berhasrat untuk menduduki peperiksaan Juruteknik.
Aku meluahkan hasratku kepada semua juruteknik mengenai bagaimana caranya untuk memohon dan mengambil peperiksaan tersebut. Luahan aku dibalas dengan gelak ketawa. Dengan nada sini, mereka memperliku.
“Kami yang berkelulusan MCE dan Politektik Ungku Omar pun lingkup. Inikan pula engkau yang hanya ada L.C.E sahaja yang berani nak mengambil peperiksaan itu?”
Pedih telingaku dan aku benar- benar terasa yang aku ini hina di mata mereka. Beginilah sikap manusia. Bukan mahu menolong, tetapi lebih kepada mengutuk, menghina, dan membunuh semangat orang lain. Inshaa-Allah, aku akan cuba dan aku akan buktikan kebolehanku.
Pada suatu hari, aku memberanikan diri untuk berjumpa dengan seorang jututera bernama IR.Thomas Thamboo. Jurutera ini amat baik orangnya dan beliau amat suka dengan cara aku bekerja. Tanpa melengahkan masa, aku meluahkan hasrat, cita- cita, dan azamnku kepadanya untuk mencuba mengambil peperiksaan juruteknik itu. dengan hati yang penuh ikhlas, jurutera itu pun mengeluarkan buku- buku dari rak di belakang mejanya dan diserahkan kepadaku sambil berkata,
Mr.Syed, take this books and read it. If your find any complication with the calculation or anything, please do not hesitate to ask me.”
Ya Allah. Baiknya jurutera ini. Walaupun bukan beragama Islam, tetapi hati budinya amat baik.
Thank you, Sir. I will work hard and study hard.
Itu saja yang dapat aku jelaskan. Lulus atau gagal, aku sudah usaha.

Aku pun mengambil kesemua buku- buku rujukan yang banyak berkaitan dengan bidang teknikal. Buku- buku itu amat berguna untuk aku hadapi peperiksaan itu kelak. Aku terus membaca, membuat kiraan, serta menghafal sesetengah formula. Tidak kurang juga aku kerap berjumpa dengan jurutera IR.Thomas Thamboo sekiranya ada yang tidakku fahami. Permohonan dan borang untuk mengambil peperiksaan telah lama aku hantar.

Terima Kasih

16 February 2015

BAB 18 : ALAM PEKERJAAN


                        Dengan usaha dan bantuan sepupuku, aku pun melaporkan diri di Pejabat Pengarah JKR Seremban dan pada hari itu juga aku ditempatkan di Jalan Templar. Di sudut dinding terpampang ‘Senior Executive Engineer’s Office’, JKR Jalan Templar, Seremban, Negeri Sembilan. Mungkin ketika itu penggunaan bahasa Malaysia tidak begitu meluas. Aku sendiri berbicara  sesama staf dalam bahasa Inggeris. Aku tidak berasa janggal kerana dari darjah satu, aku memang dari dari aliran Inggeris. ‘Speaking’ aku boleh tahan ‘berhabuk’ juga. Kalau ada ‘broken’ sikit- sikit memang patutlah kerana aku kelulusan L.C.E sahaja. Sekarang, Pejabat JKR Jalan Templar itu sudah tidak wujud, yang kelihatan hanya bangunan baru yang menempatkan “Kentucky Fried Chicken”.
Aku mula bertugas dan ditempatkan di Cawangan Jalan. Di bawah jagaanku ada 40 pekerja bawahan. Kebanyakannya anak muda kampung yang baru saja tamat latihan di Dusun Tua. Aku bekerja bersungguh- sungguh kecuali hari sabtu dan ahad. Aku bercampur dengan anak- anak muda di bawah jagaanku yang duduk beramai- ramai di sebuah kuarters di Mambau yang terletak di simpang menghala ke Kuala Sabah dari Pekan Rantau. Rata- rata pekerjaku dari anak- anak muda kampung yang sudah terbiasa dengan kerja yang lasak dan susah. Walaupun mesra dalam persahabatan, namun sifat hormat kepadaku tetap dijaga oleh mereka. Suatu hari, seorang pekerja bawahan berjumpa denganku sambil mempelawa.
“Encik, esok cuti. Jadi kami berempat hendak masuk hutan. Encik hendak ikut sekali?” begitulah pelawaan pekerja bawahanku.
“Masuk hutan? Hendak cari apa?” soalku kembali yang pelik dengan pelawaannya untuk masuk ke hutan itu.
“Kami hendak cari jering dan petai, encik.” Jelasnya dengan muka selamba.
“Encik jangan buat apa- apa. Mungkin Encik tak biasa. Kami sudah biasa masuk ke dalam hutan. Jika kami dapat petai dan jering, kita akan bahagikan sama rata termasuk Encik.”
 Baik betul niat pekerjaku itu.
“Memang ada jering dan petai ke dalam hutan tu?” ghairahku ingin tahu.
“Lebih dari itu pun ada, Encik. Pokok durian pun ada. Pak belang pun ada. Pendek kata, semua ada!” balasnya lagi.
Aku hanya mampu mendengar tetapi sukar untuk mempercayainya.
“Semua itu hak siapa? Tak salah ke kalau kita ambil?”
Hairan juga aku kerana tak mungkin pokok- pokok itu tumbuh tanpa tuannya.
“Sebenarnya, pokok- pokok itu tumbuh dengan semula jadi, Encik. Kalau hendak dikirakan, semua itu hak kerajaan. Salah kalau kena tangkap, tapi tak kena tangkap, tak salahlah!” usiknya.
Eh.. Eh. Ehh.. Undang- undang apa pula yang budak- budak ni cipta?” getusku dalam hati.
“Semua hasil tumbuhan dalam hutan itu, boleh diambil, Encik. Ada jabatan yang telah mengeluarkan lesen. Kalau tidak silap saya, RM 5 setahun.” Jelasnya kembali seoalah- olah dia memang sudah biasa dengan aktiviti begini.
“Baiklah. Esok saya akan ikut serta kamu semua.” Jawabku ringkas. Padahal dalam hati ghairah hendak mencuba.
Pada keesokan harinya, lebih kurang sejam berjalan dalam hutan, akhirnya kami jumpa juga pokok petai yang sangat tinggi dan lebat buahnya. Di sudut paya, kelihatan pokok yang agak kehitaman di penuhi dengan jering. Tiba- tiba sahaja perasaanku berasa amat seronok. Puas aku merenung pokok petai yang melangit tinggi itu. Aku pun bertanya.
“Tinggi betul pokok ini. Pangkalnya pun besar pemeluk. Apa kaedah untuk mengambil petai- petai itu?”
Jujur aku katakan, aku memang tidak nampak jalan bagaimana caranya untuk memetik petai itu.
“Encik bertenang sahaja. Sebentar lagi Encik akan melihat pekerja Encik ini memanjat pokok ini macam monyet.” Sahut pekerjaku yang seorang lagi yang selamba sahaja mengelar kawannya monyet.
Sedang asyik berborak, kawannya sudah sampai di hujung dahan pokok petai yang tinggi itu.
“Kami semua profesional, Encik. Kami tidak perlukan sigai untuk memanjat.” Sambung pekerjaku lagi.
“Sigai itu apa bendanya pula?” Tidak pernah pula aku dengar sebelum ini.
“Ohh. Sigai itu galah panjang, Encik. Kita akan lekapkan di batang pokok untuk memanjat. Tapi cara itu bererti pemanjat itu belum ‘pro’ lagi.” jelasnya sambil memetik api di sebatang rokok.
“Seumur hidup saya, saya tidak pernah melihat orang memanjat pokok petai. Lebih- lebih lagi bergayut di hujung dahan. Terlalu berbahaya.” Aku mencelah sambil menggelengkan kepala.
“Ohh. Budak- budak kampung ini semuanya berani mati, Encik.” Selorohnya lagi.
Setelah hampir pukul empat, kami berlima pun keluar dari hutan. Kasihan juga aku melihat cara pekerjaku membawa jering dan petai untuk dibawa keluar dari hutan itu.
Sebaik sahaja sampai di kuarters, aku diberi lebih kurang 5 kati petai dan 5 kati jering. Terlalu banyak buatku lalu aku sedekahkan separuh kepada jiran berhampiran.
“Minggu depan Encik hendak ikut kami lagi?” saran Johari, pekerjaku yang merupakan monyet yang memanjat pokok petai itu.
“Nak masuk hutan lagi ke?” soalku dengan nada kepenatan walaupun satu kerja pun aku tidak buat.
“Tidak, Encik. Minggu depan kami bercadang nak ‘mengoncal’ malam kat Sungai Landak. Atas sikit sahaja melepasi ampangan.” Jawabnya.
“Mengoncal? Binatang apa pula itu?”
Pelik betul bahasa budak- budak ini.” Komenku di dalam hati.
“Meraba, Encik. Bukan meraba orang tau. Tetapi meraba ikan yang ada di celah- celah kayu atau batu di waktu malam dengan menggunakan tangan. Kami orang Negeri Sembilan sebut ‘mengoncal’. Tetapi di tempat lain, kami tidak tahu apa yang disebutnya.” Jelasnya dengan terperinci padaku.
“Ishh. Ini kerja gila. Sia- sia sahaja di patuk ular.” Aku membalas kembali dengan perasaan takut dan ngeri.
“Tak gila, Encik. Kami sudah’pro’ dan kami dapat membezakan antara ular dan ikan.” Johari memberi jaminan akan kebolehannya itu.
“Encik cubalah nanti minggu depan ya?” sambungnya lagi.
“Ohh. Taubat nasuha saya kalau macam ini. Kalau diberi ganjaran sekalipun, sampai mati saya tidak akan buatnya.” Jelasku terus- terang.
“Senang sahaja, Encik. Ketika sedang meraba dalam air itu, Encik jangan tekan kuat- kuat. Kalau ada rasa gerakan kesat, baru Encik tekan. Tapi kalau lain macam saja licinnya, cepat- cepat lepaskannya.” Petua dan cara yang diajar oleh Johari.
“Yang kesat itu apa? Yang licin itu apa?” Ingin juga aku tahu untuk membezakannya nanti.
“Yang kesat itu ikan, Encik. Yang licin itu, ular.” Selamba sahaja Johari menerangkan.
“Tidak mengapalah, Johari. Tinggi sangat ilmu awak. Kalau saya ikut pun, biarlah saya sekadar berada di atas tebing sambil menyuluh apa yang kamu dapat ya? Itu lebih selamat.” Syaratku jika ingin turut serta. Itu sahaja yang mampu aku lakukan.
“Tak boleh, Encik. Kalau Encik suluh, nasib dan nyawa Encik yang akan lebih terancam!” tegas Johari seolah- olah memberi amaran padaku.
“Kenapa pula nasib saya yang lebih terancam? Saya tak sentuh pun ikan atau ular dalam air itu.” jawabku yang agak hairan dengan amaran Johari itu tadi.
“Encik… Di tebing sungai itu, banyak ular ‘batang tebu’ atau ‘tiong’! Ular ini siangnya buta, tapi bila malam, pantang ular ini nampak cahaya lampu suluh. Ular ini sangat berbisa, Encik. Encik jalan dalam gelap, itu lagi selamat!” Panjang betul Johari jelaskan sebabnya.
Dalam hatiku sudah berbelah bahagi. Besar kemungkinannya aku tidak akan ikut serta. Aku wajib sediakan 1001 alasan dengan harapan pekerjaku tidak akan berkecil hati kelak.
Mereka terus ke Sungai Landak seperti yang telah dirancang. Di sini aku sedar, pekerjaku semuanya memang anak kampung jati. Mereka mahir dalam semua selok- belok hutan mahupun sungai. Aku berani angkat tangan dan tabik atas kebolehan mereka. Walaupun tidak ikut serta, mereka tetap membawa hasilnya untuk diberikan kepadaku. Begitulah baiknya pekerja bawahanku.

Dalam keseronokan, aku juga perlu banyak membaca kerana aku akan menghadapi peperiksaan dan wajib lulus dalam tempoh percubaanku ini. Zamanku dahulu, kalau gagal peperiksaan jabatan dalam tempoh percubaan, tempoh dan peluang akan diberi setahun lagi. tetapi, jika gagal juga, maka bersiap sedialah untuk diberhentikan.

Terima Kasih

BAB 17 : SURAT TAWARAN

SURAT TAWARAN

            Perjalanan pulang ke Melaka kali ini merupakan detik perubahan buat diriku kerana aku tidak mungkin lagi akan ke hulu ke hilir demi sesuap nasi. Pastinya aku akan melangkah ke alam pekerjaan yang akan menjamin masa depanku kelak. Tidak terlintas di benak fikiranku yang hanya memiliki kelulusan yang tidak seberapa itu dengan mudahnya memperolehi pekerjaan di Jabatan Kerajaan dan diterima terus sewaktu menghadiri temu duga tempoh hari itu. Bukankah semua ini urusan Allah SWT?
Meniti dari zaman kanak- kanak hingga kini yang telah mengambil masa lebih kurang 13 tahun selepas kematian ibu bapaku bukanlah satu perjalanan hidup yang mudah. Lebih- lebih lagi aku telah katakan, setiap penderitaan, kesengsaraan, dan keperitan serta kesusahan pasti ada hikmahnya. Semua itu di sisi ilmu Allah SWT dan merupakan rahsia kepada hambaNya. Sebagai hamba Allah, wajib bagi setiap insan yang beriman redha dengan ketentuanNya. Bagiku, wajib aku bersyukur dan banyak bersujud kepada Allah SWT dengan anugerah kehidupan begini agar aku tidak lupa di hari mendatang lebih- lebih lagi apabila dikurniakan nikmat kesenangan.
Banyak contoh dan tauladan yang boleh kita ambil iktibar. Sifat manusia ini, apabila ditimpa dengan kesusahan dan kesempitan hidup, mereka akan menadah tangan berdoa sambil menitiskan air mata, tetapi apabila Allah SWT melepaskan mereka dari belenggu kesusahan, nescaya amat sedikit yang mahu bersyukur.
Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud,
Sekiranya kamu mensyukuri nikmatKu, nescaya akanKu tambahkan nikmatKu ke atas kamu. Dan sekiranya kamu kufur, maka azabKu amat pedih.” (Ayat 7, Surah Ibrahim)
Sebaik sahaja sampai ke rumah di Melaka, aku diserahkan dengan surat yang tertera di atasnya ‘Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)’. Aku membukanya dengan teliti dan membaca isi kandungannya. Di dalamnya lengkap tercatit jawatan yang ditawarkan, tangga gaji, potongan simpanan pekerja, tempoh percubaan, serta tempat yang perlu aku melaporkan diri nanti. Di samping itu, ada juga dokumen yang aku lengkapkan serta ‘medical check-up’ yang harus aku serahkan semula secepat mungkin.

 Jawatan                 : Juruteknik Rendah.
 Tarikh Lapor Diri : 1 Oktober 1970.
 Tempat                  : JKR Ibu Pejabat JKR Seremban, Negeri Sembilan.

SubhanAllah… Meleleh air mataku. Aku membuat perbandingan seketika dengan sahabat sekampung yang memiliki sijil SPM dengan Gred 3, namun masih menganggur. Aku pula yang baru mencapai usia 18 tahun 2 bulan sudah mendapat tawaran bekerja dengan Jabatan Kerajaan. Jawatan tetap dan berpencen pula. Ketika itu juga aku terbayangkan ketiga- tiga pegawai yang menemu dugaku tempoh hari. Terlintas juga dalam hati hendak mencari mereka untuk mengucapkan terima kasih. Tetapi dimanakah mereka? Walaupun di mana mereka berada, semoga Allah SWT melimpahkan rahmat dan rezeki kepada ketiga- tiganya itu.
Dengan tawaran ini, aku perlu bersiap sedia dengan segala keperluan. Sehelai dua pakaian pun sudah cukup untuk dimasukkan ke dalam beg galas. Ibu saudaraku juga membekalkan ikan bilis goreng sambal untuk aku jadikan lauk. Bagaimana hendak ke Seremban, aku sendiri tidak tahu. Apatah lagi hendak tinggal di mana. Pejabat JKR Ibu Pejabat pun aku tidak tahu entah di mana. Namun, kerisauanku terubat apabila ada seorang sepupuku ketika itu bekerja di Seremban sebagai seorang kakitangan pejabat Risda. Dia menyewa rumah di Jalan Rasah bersama dengan empat orang sahabatnya yang bekerja di pelbagai jabatan dan jawatan. Atas usahanya, akhirnya aku dibawa untuk melaporkan diri serta ditumpangkan buat seketika dirumahnya.

Terima Kasih

14 February 2015

BAB 16 : TERINGIN HENDAK PULANG KE KUALA TERENGGANU

          Dalam perjalanan pulang, aku seolah- olah tidak percaya yang aku bukan sahaja sekadar berjaya menghadiri temu duga, bahkan aku juga telah berjaya ditawarkan jawatan yang aku pohon itu. Aku mula memasang angan- angan sebagai seorang kakitangan kerajaan. Tetapi aku tidak boleh terlalu ghairah atau terlalu yakin selagi aku belum menerima surat hitam putih yang mengatakan aku berjaya ditawarkan jawatan tersebut.
            Aku sempat singgah di kedai gambar untuk memetik gambarku sebagai kenangan. Harga pun tidak sampai RM 2.00. Aku tidak kisah kerana duit dalam dompetku sedang penuh dan berat. Selepas tiga hari, aku pun pergi untuk mengambil gambarku yang sudah siap. Geli hatiku apabila melihat wajahku yang ‘posing’ seperti ‘filemstar’. Tali leher itu yang nampak lebih terserlah kerana berbelang seperti ‘zebra crossing’ di zoo. Seluar dan baju tak ketara sangat, tetapi jangan pasang kipas kerana pasti terserlah seperti ‘cicak kubing’ dalam kelonsong.
             Selepas dua hari berehat, aku pun bersiap untuk pulang ke Kuala Terengganu. Main golf kononnya. Saudaraku terperanjat apabila melihat aku sudah tercegat di hadapan rumahnya. Pada malam harinya, rumah saudaraku riuh rendah dengan gelak ketawa apabila aku menceritakan kisah temu dugaku dan tak kurang juga aku menokok tambah sedikit sebagai rencah cerita.
            Keesokan harinya, ketika saudaraku sedang menuju ke padang golf, sempat juga dia memberitahu padaku bahawa jika aku tidak mendapat kerja pun tidak mengapa. Dia juga sedang mengusahakan unuk memasukkan aku untuk menjadi polis sebagai ‘constable’ biasa.
           Pada sebelah malam pula, banyak masa terluang yang aku isikan dengan berangan. Ketika itu juga aku teringatkan arwah ibu bapaku. Alangkah sedihnya jika mereka berdua dapat melihat liku- liku hidupku sebagai anak yatim piatu. Ketika asyik berangan dan fikiran jauh melayang, akhirnya aku terlelap dalam mimpi. Semoga hari- hari mendatang memberi sinar dalam hidupku.
            Seperti biasa, pagi- pagi lagi aku telah memulakan tugas membersihkan longkang, mop lantai, dan membuat apa yang patut di dapur. Semua kerja ini aku lakukan tanpa diberi arahan dan tidak mengharapkan upah. Cukuplah aku dapat menumpang untuk berteduh dari panas dan hujan serta sesuap dua nasi yang masuk ke dalam mulutku. Tetapi, mereka kekok denganku kerana semua tugas aku lakukan dengan penuh tanggungjawab.
          Pada waktu petang pula, semua peralatan golf telah aku siapkan dan letakkan di depan pintu. Hanya menunggu untuk dimasukkan ke dalam ‘boot’ sahaja. Walaupun iras wajah saudaraku agak garang, tetapi sebenarnya dia amat baik dan tidak pernah bakhil denganku. Setiap keringatku tetap ada habuan tersendiri. Duit dalam dompet pun sudah agak lumayan. Kebolehanku sebagai ‘Keddy’ juga sudah meningkat dan sekali sekala dapat juga membuat pukulan di ‘Driving Range’.
          Baru hendak masuk dua bulan, sekali lagi aku diminta pulang ke Melaka. Kali ini pastinya aku sudah mendapat surat tawaran jawatan. Sekiranya aku balik kali ini, sudah tentu aku tidak akan pulang lagi ke Kuala Terengganu. Sedih juga apabila mengenangkan saudaraku terpaksa mencari ‘Keddy’ lain. Bukan susah untuk mendapatkannya cuma upahnya agak mahal sedikit jika dibandingkan bayaranku tanpa mengikut kadar bayaran sebenar.
         Demi masa depanku, aku harus pulang ke Melaka. Bukan senang hendak mendapat peluang bekerja dengan kerajaan. Aku meminta izin dan mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberi layanan yang sangat baik terhadapku semasa menumpang di rumah mereka.
Keesokan harinya, aku dihantar seperti biasa ke Teminal Bas  untuk pulang ke Melaka. Banyak nasihat yang diberikan ketika menuju ke Terminal. Begitu juga dengan duit belanja sewaktu perjalanan nanti. Bayangkan, ketika ini duit dalam dompetku berjumlah RM 304.50. Ditambah pula dengan RM 50 yang baru diterima ini .
           “Fulamakkk…. Aku ada RM 354.50!” kataku di dalam hati.
           Lebih lima kali aku kira wang tersebut kerana takut tersilap kira. Aku mencium duit itu. inilah duit hasil kudrat dan titik peluhku.
        Ketika pemandu bas berhenti rehat, aku pun turun untuk menjamu selera. Aku menempah makanan pun dengan yakin sahaja. maklumlah dompet sudah ‘loaded’.

Terima Kasih

10 February 2015

BAB 15 : SEMASA TEMU DUGA

              Sebaik sahaja namaku dipanggil, aku terus melangkah masuk ke dalam bilik tersebut. Tiga orang pegawai sedang duduk sebaris di hadapan meja masing- masing. Satu kerusi tanpa meja diletakkan bertentangan dengan pegawai- pegawai itu. Aku terus menuju dan berdiri di sebelah kerusi sambil memberi salam kepada ketiga- tiga pegawai yang berada di situ.
            “Assalamualaikum, Tuan.”
            “Assalamualaikum, Tuan.”
“Assalamualaikum, Tuan.”
Aku memberi salam kepada setiap pegawai yang duduk di situ. Niat dalam hati hendak ketawa pun ada. Macam cerita P.Ramlee pula.
“Berapa kali salam daa….”
Salamku amat tertib kerana aku menundukkan sedikit kepala kepada semua pegawai- pegawai itu sebagai tanda hormat.
“Sila duduk.” Pegawai yang duduk di bahagian tengah memberikan keizinan kepadaku untuk duduk di kerusi yang disediakan itu.
“Terima kasih, tuan.” Aku membalas ringkas dan terus duduk.
“Boleh saya tengok sijil- sijil dan yang lain- lain?” soalnya.
“Boleh, Tuan.” Balasku sambil bangun menghulurkan sijil dan lain- lain yang telah aku keluarkan dari failku itu.
Aku ibarat seperti tunggul ketika pegawai itu membelek- belek sijil dan segala kertas yang aku berikan padanya tadi. Aku berasa pelik dan hairan. Aku hanya ada sehelai sijil sahaja. Bakinya hanya sijil berhenti sekolah, surat beranak, dan kad pengenalan.  Kenapa lama sangat dibeleknya? Aku mula merungut di dalam hati.
“Oh… Mungkin sijil I.C.E aku bagus sangat keputusannya.” Aku mula perasan dengan  mengangkat bakul sendiri.
Pegawai yang berada di bahagian tengah itu banyak menyoal aku. Tiada soalan pun yang menyentuh tentang hal semasa atau sejarah, tetapi lebih kepada peribadiku sendiri yang menyentuh soal adik- beradik, tempat tinggal, dan soalan yang remeh- temeh sahaja.
Sebaik sahaja selesai, aku pun bangun dan bersalaman dengan ketiga- tiga pegawai tersebut. Belum sampai tujuh tapak aku melangkah pergi, tiba- tiba namaku dipanggil.
“Tuan Syed… Boleh Tuan Syed duduk semula?” pelawaan yang aku lihat amat lembut dan sopan sekali.
Aku meminta izin untuk duduk ketika melangkah ke kerusi walaupun aku sudah dengar pelawaannya supaya aku kembali ke tempat dudukku kembali.
“Maafkan saya kerana memanggil Tuan Syed semula kerana ada beberapa soalan yang ingin saya tanya dan tahu dari Tuan Syed.” Katanya sambil melemparkan senyuman padaku.
Senyumannya agak manis, tetapi memandangkan misainya agak tebal, senyuman yang manis itu tidak terserlah. Komen aku di dalam hati.
“Silakan, Tuan.” Sahutku pendek dan ringkas.
Aku mula risau kerana dari awal sampailah sekarang, hanya pegawai yang duduk di bahagian tengah itu saja yang menyoal.
Pegawai kiri dan kanan itu makan gaji buta ke? Asyik tengok gelagat aku sahaja. Smart sangat ke aku ni?” Aku merungut lagi di dalam hati.
“Maafkan saya, Tuan Syed. Tahukah Tuan Syed hari ini merupakan jawatan kosong untuk Jabatan Kerajaan.” Soalnya dengan nada yang lembut walaupun agak menakutkan soalan yang diajukan itu.
“Saya tahu, Tuan. Saya telah bersiap sedia dengan sebaik mungkin untuk menghadiri temu duga hari ini.” Jelasku dengan penuh keyakinan.
“Harap Tuan Syed tidak berkecil hati sekiranya saya menyentuh sedikit tentang personaliti Tuan Syed. Pakaian Tuan Syed agak kemas, tetapi agak besar jika dibandingkan dengan tubuh Tuan Syed. Begitu juga seluar panjang Tuan Syed yang kelihatan kesan tampal dan jahitan di bahagian kiri dan kanannya. Adakah Tuan Syed tidak mempunyai pakaian yang lain?” ulasnya dengan panjang lebar dan diakhiri dengan satu soalan.
“Tuan, baju, seluar panjang, dan tali leher yang saya pakai hari ini merupakan yang terbaik buat saya. Pakaian ini disedekahkan oleh bapa saudara saya khas untuk digunakan sewaktu temu duga ini.” Jawabku ikhlas.
Suasana agak sunyi buat seketika seolah- olah tiada soalan lagi yang hendak diajukan. Dua pegawai yang memakai cermin mata yang berada di kiri dan kanan mula membuka cermin matanya sambil mengelap matanya. Jelas ada sedikit kesan takungan air mata tanda menagis.
Aku ketika itu kelihatan tenang sahaja tanpa ada sedikit perasaan sedih atau bercita- cita ingin menitiskan air mata. Tidak ada sebab untuk aku menagis. Bukan ada berita kematian dari pihakku. Ibu bapaku pun sudah hampir 13 tahun meninggal dunia. Jika ada air mata sekalipun, mungkin itu saki bakinya kerana terlalu banyak ratapan yang telah aku tempuh dan lalui. Dalam kesepian, pegawai yang duduk di bahagian tengah itu membuka failnya. Fail yang agak tebal dan besar, tetapi aku sediri tidak tahu apa yang dicarinya. Selang beberapa minit, beliau bersuara.
“Beginilah Tuan Syed. Saya belum pernah menemu duga seseorang yang menjawab dengan ikhlas seperti Tuan Syed. Ini membuatkan saya berasa terharu dan sedih. Saya berterus- terang sahaja ya? Saya ingin menawarkan salah satu kekosongan jawatan yang ada. Tuan Syed buatlah pilihan sama ada minat untuk berkhidmat dengan ‘Radio dan Televisyen Malaysia’, ‘Telekom Malaysia’, atau ‘Jabatan Kerja Raya’ agar mudah saya mencatit salah satu jawatan ini telah diisi.” Katanya dengan begitu ikhlas sekali.
“Saya bersyukur pada Allah SWT dan berterima kasih kepada Tuan bertiga kerana sudi menawarkan pekerjaan kepada saya. jika Tuan izinkan. Saya memilih Jabatan Kerja Raya sebagai pilihan dan keutamaan saya.” balasku dengan penuh hormat.
“Baiklah, Tuan Syed. Kami akan hantarkan surat tawaran jawatan dalam masa terdekat. Mudah- mudahan Tuan Syed dapat laksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik dan amanah.”
Begitulah keputusan pegawai tersebut umpama nasihat sekaligus memberi jaminan perkerjaan tersebut.
“Terima kasih, Tuan. Semoga Allah SWT memberkati dan membalas jasa dan budi baik Tuan- tuan sekalian. Saya akan pegang amanah tuan untuk bertugas dengan baik.” Jawabku dengan agak emosi sedikit tetapi tidak menagis.

Sebaik sahaja diizinkan keluar, aku pun bangun dan bersalaman sekali lagi kepada ketiga- tiga pegawai tersebut. Aku terus melangkah keluar dengan semangat dan azam baru.

Terima Kasih

>
© DI SEBALIK CERITA INI | Design By Blog Bingkisan Hati