Pages

6 February 2015

BAB 13 : MENDAPAT SURAT TEMU DUGA

            Baru nak berjinak- jinak dan bermanja di perantauan, tiba- tiba pula ada berita dari Melaka mengatakan bahawa ada surat temu duga untukku. Isi kandungannya pula tidak pula diberitahu. Jawatan apa? Bila tarikhnya? Semuanya tidak diberitahu pula. Hanya mengatakan bahawa ada surat temu duga sahaja.
            Tanpa bertangguh, saudaraku pun membelikan tiket bas ekspres ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke Melaka. Aku dibekalkan dengan duit belanja sebanyak RM 50. Jumlah keseluruhan termasuk yang aku simpan sudah mencapai RM 85.50. Aku berasa seolah- olah aku sudah kaya dengan memiliki duit sebanyak itu.
             Tepat jam 11 pagi, aku pun memulakan perjalananku untuk pulang ke Melaka. Buat pertama kalinya aku merasakan nikmat menaiki bas dalam perjalanan yang jauh ini. Sesekali aku membelek duit di dalam dompet yang pastinya melebihi untuk membeli apa sahaja makanan yang aku inginkan.
Di dalam bas, aku tertanya- tanya juga tawaran kerja apakah yang ditawarkan untuk temu duga itu? Ketika asyik berangan dan fikiran sudah melayang jauh, aku tidak sedar bahawa aku sudah sampai ke terminal di Kuala Lumpur. Lama betul aku mengelamun. Tanpa berlengah masa, aku cepat- cepat mencari bas. Gayaku ketika itu tak ubah seperti ‘rusa masuk kampung’. Alhamdulillah, akhirnya aku jumpa juga bas dan terus menaikinya. Aku sampai ke terminal bas di Melaka hampir pukul 12 tengah malam. Aku tidak perlukan bas atau teksi untuk terus ke Bandar Kaba kerana ketika itu perkhidmatan pun sudah tamat. Teksi ada tapi harganya benar- benar ‘memotong leher’ sedangkan jaraknya bukanlah jauh sangat. Justeru, aku lebih memilih untuk berjalan kaki sahaja yang hanya memakan masa tidak sampai setengah jam. Memandangkan badan  terlalu letih dan semua pun sudah tidur, aku pun merebahkan badan dan terus terlelap sebaik sahaja sampai ke rumah.
Keesokan harinya, aku diberi surat temu duga itu. Aku mengoyaknya sampul surat yang tertera “Urusan Kerajaan” itu dengan tergesa- gesa kerana tidak sabar untuk mengetahui apakah jawatan yang ditawarkan itu.

                   Jawatan : Juruteknik Rendah.
                   Tarikh : 6 Mei 1970.
                   Tempat : Bilik Gerakan Seri Negeri Melaka, Pejabat Setiausaha Kerajaan Melaka.

              Ketika itu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Melaka terletak di atas Bukit St.Paul. Dalam surat itu menyatakan bahawa aku dikehendaki membawa sijil- sijil asal, sijil berhenti sekolah, dan lain- lain yang berkaitan. Aku sediakan semua dokumen mengikut urutan keperluan.
                   Dalam keadaan ghairah dan seronok, terlintas juga apa persiapan dan soalan yang bakal ditanya. Semua ini membuatku berasa susah hati dan kepala mula berserabut. Ini merupakan kali pertama aku akan menghadiri sebuah temu duga. Bagaimana pula dengan pakaian yang harus aku pakai pada waktu itu nanti? Pakaian yang sedia ada pun hasil pemberian orang dan kesemuanya agak lusuh.
                  Aku mengadukan hal ini kepada ibu saudaraku. Akhirnya ibu saudaraku menyarankan agar aku memakai sahaja baju bapa saudaraku yang lebih elok sedikit berbanding baju yang aku miliki. Seluar panjang yang agak terkoyak sedikit di kiri, kanan, dan belakang poket ditampal dan dijahit oleh ibu saudaraku pada malam itu juga. Alhamdulillah… Cukuplah dengan apa yang aku ada. Cuma baju dan seluar itu agak besar sedikit kerana bapa saudaraku agak gemuk orangnya.

              Aku cuba padankan dengan baju yang aku pakai dengan tali leher. Baju putih lengan panjang, seluar hitam bertampal dan tali leher berjalur. Macam hero pun ada. Macam badut pun ada. Tak kisahlah semua itu. Yang penting, itulah pakaian aku yang terbaik dan aku pasti akan memakainya pada hari temu duga itu nanti waluapun agak lawak di mata orang lain.

Terima Kasih

No comments:

>
© DI SEBALIK CERITA INI | Design By Blog Bingkisan Hati