Lulusnya aku dalam peperiksaan juruteknik sekaligus melayakkan aku
memohon jawatan tersebut. Kelulusan akedemik L.C.E yang aku miliki sudah tidak
di ambil kira lagi. Sebaliknya, peperiksaan yang lulus itu sudah membuat aku
setaraf dengan juruteknik yang berkelulusan Politeknik Ungku Omar. Maha suci
Allah SWT yang mengatur perjalanan setiap hambaNya. Begitu juga rezeki dan
lain- lainnya. Tidak sampai setahun, aku telah memohon jawatan juruteknik. Aku
dipanggil untuk temu duga dan terus menyandang jawatan tersebut.
Kini, aku
kelihatan ‘smart’ seperti bintang
filem. Maklum saja sudah mencari rezeki sendiri serta sudah boleh membeli baju
dan seluar yang bersesuaian dengan kemampuanku. Alhamdulillah, sedikit demi
sedikit, setapak demi setapak dapat juga juga aku nikmati kesenangan hidup. Aku
kerap berdoa kepada Allah SWT agar aku sentiasa ingat untuk sujud kepadaNya
ketika susah mahupun senang dan aku amat takut jika aku termasuk dalam golongan
hamba yang kufur nikmat.
Azamku terlalu kuat
untuk meningkat dalam kerjaya. Aku diberi peluang untuk menambahkan ilmu dalam
bidang teknikal di Technical College di Jalan Gurney, Kuala Lumpur (Kini UTM
Jalan Semarak). Aku meninggalkan pengajianku separuh jalan untuk menumpukan
tugas untuk memohon pula jawatan Juruteknik Tingkatan Kanan. Aku lebih suka
cara begini daripada belajar di Technical College untuk menggenggam segulung
Diploma mahupun Ijazah. Cukup sahajalah aku dengan sehelai sijil L.C.E. Tuan
Pengarah, Jurutera Kanan, dan semuanya memberi aku perangsang dan semangat agar
aku terus maju. Kini, aku sekali lagi menduduki kertas peperiksaan untuk
melayakkanku ke jawatan Juruteknik Tingkatan Kanan.
Peperiksaan ini
sama seperti peperiksaan terdahulu. Aku harus menunggu selama enam bulan untuk
mendapatkan keputusannya. SubhanAllah… Aku telah berjaya membuktikan sekali
lagi kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan ini. Dengan lulusnya peperiksaan
ini, aku dipindahkan dan ditempatkan di JKR Cawangan Tentera, Kem Terendak
Melaka dan seterusnya di Bandar Baru Serting, Bahau Negeri Sembilan. Kini,
kedudukan jawatanku telah meninggalkan juruteknik- juruteknik lain ke belakang.
Ada yang masih kekal dengan jawatan tersebut tanpa kenaikan pangkat dan ada
juga telah diberhentikan atau dibuang kerja.
Semasa di
Seremban, dalam kesibukan masa, aku juga sempat mendirikan rumah tangga. Namun,
isteriku meninggal dunia dengan meninggalkan zuriat lelaki bernama Syed
Muzaffar bin Syed Abdullah.
No comments:
Post a Comment