Lama juga aku
menduda kerana ketika itu aku tidak terlintas hendak berumah tangga lagi.
Bukankah urusan jodoh juga ketentuan Allah SWT? Justeru, dengan izinNya, tanpa
merancang dan bertemu, aku dicarikan jodoh. Maka pada tanggal 19 Disember 1987,
kami telah pun selamat diijab kabulkan. Gadis yang berasal dari utara Sik,
Kedah. Sharifah Asma Binti Syed Mohamed sah menjadi isteriku. Ketika itu,
isteriku merupakan guru terengkas. Begitu juga silibus yang kesemuanya berada
di bawah naungan dan kelolaan Institut Yayasan Terengkas yang beribu pejabat di
Alor Setar, Kedah.
Pada peringkat awal, aku terpaksa berulang- alik dari Melaka ke Sik, Kedah. Perjalanan yang
agak jauh dan memenatkan. Demi sebuah rumah tangga yang baru dibina, isteriku
mengorbankan kerjayanya dan membuat keputusan untuk menamatkan saja kelas
terengkas untuk menetap di Melaka. Setelah selesai urusannya, maka isteriku pun
meninggalkan kedua ibu bapanya di kampung dan mengikutiku ke Melaka untuk
memulakan kehidupan baru di alam perkahwinan.
Kehidupan rumah
tanggaku pada peringkat awal banyak kekurangannya. Rumah pun merupakan rumah
sewa kampung. Pada masa itulah kami mula membeli keperluan sedikit demi
sedikit. Makan minum pun tak perlu untuk memasak pelbagai lauk memandangkan
yang hendak makan hanya kami berdua sahaja. Mudahlah kami berdua yang ala kadar
dan sekali sekala makan di luar sahaja. Masa kami banyak terluang dengan
menonton televisyen sambil memakan kacang. Ketika itu, rumah masih sunyi kerana
tidak mempunyai zuriat. Dengan keadaan yang masih belum sempurna, kami harungi
rumah tangga dengan aman dan penuh kasih sayang. Namun, jauh di sudut hatiku,
aku impikan kehidupan yang agak selesa dengan mempunyai rumah sendiri disamping
zuriat yang sederhana ramai. Rumah yang tidak terlalu besar tetapi memadailah
untuk menaungi keluarga dan zuriat jika diizinkan oleh Allah SWT.
Pada suatu malam,
aku mengambil sehelai kertas dan sebatang pen lalu mengajak isteriku melihat
coretanku yang merupakan impianku di atas kertas. Di atas kertas itulah aku rajahkan
sebuah rumah lengkap dengan kolam serta hiasan dalaman untuk menceriakan
suasana rumah itu nanti. Tidak cukup dengan itu, aku gambarkan pula sebidang
tanah yang luas untuk bercucuk tanam dan menternak itik, ayam, dan kambing.
Isteriku sekadar mengiyakan sahaja setiap yang aku coretkan di kertas itu. Dia amat
khusyuk umpama seorang pensyarah menerangkan sesuatu kepada pelajarnya. Apabila
aku tanya sama ada setuju atau atau tidak dengan perancangan dan impianku, yakin atau tidak,
dia hanya menjawab “Inshaa-Allah”. Sepuluh kali ditanya, sepuluh kalilah
jawapan sama yang aku terima. Begitulah keadaanya sehingga aku mula berasa
mengantuk.
Coretan dan rajah
yang aku lakarkan itu, aku simpan dengan baik. Dengan izin Allah SWT, aku akan
merealisasikan impianku. Aku tidak boleh berangan kosong seperti Mat Jenin
tetapi aku perlu berusaha ke arah impian itu. Begitulah kuatnya semangatku.
Namun, yang agak melucukan, coretan di atas kertas memang nampak gah, tetapi
motosikal yang ada pun milik kawan yang sudi meminjamkannya untukku.
No comments:
Post a Comment