Pages

24 March 2015

BAB 27 : ZURIAT PERTAMA

                   
            Setelah hampir setahun mendiami rumah yang agak sunyi bersama isteri sahaja, kini isteriku telah menunjukkan tanda- tanda kehamilannya. Alhamdulillah. Hasrat dan hajatku untuk memiliki zuriat dimakbulkan juga oleh Allah SWT. Apabila kandungan isteriku menghampiri lapan bulan, aku segera menghantar isteriku pulang ke kampungnya di Sik, Kedah. Walaupun aku memiliki pengalaman yang amat luas untuk menguruskan bayi, tetapi menyambut kedatangannya bukanlah satu perkara yang harus diambil mudah. Biarlah isteriku selamat di rumah ibu bapanya dan sekiranya berlaku apa- apa kecemasan, dapatlah isteriku dihantar ke Hospital Sik, Kedah yang jaraknya tidak sampai 4 km.
            Sebaik sahaja selesai menghantarnya pulang, maka aku pun tinggalah bersendirian buat seketika, namun aku kerap menelefon isteriku dan bertanya khabar tentang kandungan dan kesihatannya. Bagiku, bersendirian begini tidak menjadi masalah buatku.
            Pada pagi 25 September 1988, aku menerima panggilan dari mertua bahawa isteriku telah dimasukkan ke wad bersalin. Malangnya doktor di hospital mengesyorkan agar isteriku dirujuk di Hospital Alor Setar. Tanpa melengahkan masa, isteriku bersama ibunya menuju ke Hospital Alor Setar dengan menaiki ambulans.
            “Ya Allah.. Engkau lindungilah isteriku dan kurniakanlah kepadanya kemudahan untuk bersalin. Begitu juga anak di dalam kandungannya itu.
            Aku berdoa kerana berasa cemas. Mengapa isteriku harus dirujuk di Hospital Alor Setar jika tidak ada apa- apa komplikasi? Di samping itu, aku juga sudah bersedia untuk balik ke Sik, Kedah. Dengan susah payahnya, Alhamdulillah, isteriku selamat melahirkan seorang bayi yang sangat comel. Tanggal 25 September 1988 itulah merupakan tarikh keramat buat kami dengan kehadiran seorang bayi yang selama ini kami tunggu dan harapkan. Memandangkan tiada komplikasi, isteriku hanya ditahan buat semalaman sahaja di dalam wad.
            Kasihan juga ibu bapa mertuaku yang bersusah payah menguruskan anak dan cucu barunya sehingga selamat sampai ke rumah semula. Aku yang baru sampai amat teruja untuk melihat anakku. Aku terus azan dan iqomah di kiri kanan telingan bayiku dan menamakannya dengan nama Sharifah Noorakma Binti Syed Abdullah. Bayiku tidak ada cacat celanya. Malah, matanya bulat serta hidungnya agak mancung. Tetapi, selepas dua tiga hari, mungkin ada yang tidak kena yang menyebabkan bayiku kerap menagis tanpa kira masa dan waktu. Pelbagai ayat suci Al-Quran aku bacakan di telinganya tetapi tangisannya tetap tidak berubah. Keadaan dia membuatkan aku berasa amat risau. Aku tidak boleh berada lama di kampung kerana cutiku hanya seminggu sahaja. Buat seketika, aku amat mengharapkan jasa kedua ibu bapa mertuaku untuk menguruskan bayiku.
            Setiap kali aku menelefon bertanyakan khabar, keadaan dan tangisan bayiku tetap seperti biasa. Pelbagai usaha telah dilakukan, namun tiada hasilnya. Sebaik tamat tempoh berpantang bagi isteriku, aku sekali lagi pulang ke Sik dan kali ini untuk membawa pulang isteri dan juga bayiku ke Melaka. Aku merujuk ke klinik pakar untuk mengetahui sebab musabab mengapa anakku terus begini. Dokor Pakar menjalankan pemeriksaan dengan teliti untuk mengesan apa penyakit yang dihidapi oleh anakku itu.
            “Bayi ini bagus, normal, dan tiada masalah. Dia suka menagis. Nanti dia sudah penat, dia akan tidur. No problem!” kata doktor pakar itu.
            Kalau aku tahu doktor itu hendak bercakap seperti itu, tidak perlulah aku bersusah payah mencari dia. Perkara yang menyakitkan hati ialah doktor pakar itu hanya telentangkan dan meniarapkan bayiku sebagai ujian mengesan penyakit. Pusing kiri, pusing kanan dan bilnya mencecah RM 60.00. Zaman itu, nilai RM 60.00 amat besar juga. Hendak dijadikan cerita, di televisyen pula sedang menayangkan filem berjudul ‘Ahmad Al-Bab’. Macam mana bayiku menangis, macam itu jugalah dalam cerita itu. Saling tak tumpah keadaannya. Mungkin benar juga kata orang- orang tua, bayiku ini terkena sawan tangis dan akan berterusan sehingga enam bulan. Mungkin betul, genap enam bulan bayiku sudah tidak menagis lagi.
            Alhamdulillah… Lega rasanya hatiku. Kalau tidak, waktu tidur kami pun terganggu dengan tangisan bayi. Dengan izin Allah SWT, membesarlah anak pertamaku yang lebih bergantung kepada susu ibunya. Dia kurang selera makan. Macam- macam aku belikan, namun dicuitnya hanya sekali dua sahaja dan terus menolak. Diberi ubat cacing pun tidak mujarab. Kurus memanjang sahaja anakku dan kadang- kadang aku memanggilnya dengan panggilan ‘Popeye’ sahaja. Walaupun nama timangannya ‘kakak’, tetapi apabila dipanggil ‘popeye’, elok saja dia menyahut dan datang. Tidak mengapalah. Asalkan anakku sihat dan membesar seperti kanak- kanak yang lain. Di samping itu, aku juga mendoakan agar anakku ini membesar menjadi anak yang solehah.

            Dengan adanya anakku yang pertama ini, aku telah membuktikan ilmuku mengasuh bayi. Inilah yang aku katakan, tidak rugi aku menjadi ‘babu’ yang akhirnya aku juga yang mendapat manfaatnya. Kedatangan cahaya mata pertamaku ini yang dipanggil ‘kakak’, ternyata rezekiku semakin bertambah dan mampu membuat aqiqah untuknya. Setelah berusia lebih kurang setahun tiga bulan, aku melihat isteriku berjalan seperti kereta yang tersasar ‘alignment’. Rupa- rupanya, perutnya sudah berisi lagi!

Terima Kasih

No comments:

>
© DI SEBALIK CERITA INI | Design By Blog Bingkisan Hati