Pages

26 March 2015

BAB 28 : KEHADIRAN ANAK KEDUA


            Seronok dan leka aku melayan Kakak. Barang mainannya hampir memenuhi katilnya. Jalan isteriku pula sudah mereng kiri dan mereng kanan seperti kereta yang memerlukan ‘alignment adjustment’. (Leser juga mulut aku. Ada ke patut aku kata isteri yang sangat- sangat aku kasihi umpama alignment kereta?) Sebenarnya, aku ini jenis yang suka bergurau. Dengan siapa lagi aku dapat bermesra kecuali isteri dan anakku. Kedua- dua inilah penyeri hidupku.
            Kini, isteriku berbadan dua lagi, mengandungkan anak yang kedua. SubhanAllah… Aku merasakan seolah- olah akulah manusia yang paling gembira di atas muka bumi Allah SWT ini. Pada awal perkahwinan lagi aku telah bayangkan hasrat dan keinginanku untuk memiliki enam orang zuriat. Tidak kurang dan tidak lebih. Itu pun jika Allah SWT makbulkan permintaanku. Dengan enam orang anak dan aku bersama isteriku, ini bermakna meja makanku elok saja ‘full house’. Sama seperti mengandungkan anak pertama, sekali lagi aku ‘pos’ isteriku ke kampung apabila menghampiri lapan bulan. (Cara aku tulis macam pos surat pula!)
            Pada tanggal 25 Mei 1990, maka lahirlah seorang lagi zuriatku yang merupakan anak perempuan juga. Aku tergesa- gesa membeli tiket bas untuk melihat anakku yang kedua ini. Sebaik sahaja sampai di kampung, anak sulungku elok saja sedang membelek- belek adiknya. Tanpa membuang masa, aku pun mengambil wuduk dan terus azan dan iqomahkan anak keduaku ini. Anak keduaku ini nampak agak berbeza sedikit dari kakaknya. Badannya bulat dan pipinya montel. Kalau dalam kategori pisang, anak keduaku ini termasuk dalam kategori pisang montel. (Tak ada insurans betul mulut aku ni.) Anehnya, baru berapa hari saja dilahirkan, tetapi dia sudah bijak tersenyum. Memandangkan badannya agak bulat dan keadaan fizikalnya yang agak lembik seolah- olah tanpa tulang, orang yang tidak biasa dengan bayi pasti akan kekok mendukungnya. Bagiku tidak ada masalah. Aku boleh ‘handle’ apa sahaja fizikal bayi. Kata orang putih, ‘Experience that counts.
            Aku tetap bersyukur pada Allah SWT. Ini merupakan nikmat, rezeki, dan anugerah Allah SWT yang perlu aku jaga dengan sebaik mungkin. Aku lihat Kakak sudah cerdik sedikit. Dia sudah boleh diharapkan untuk membuai buaian adiknya, tetapi sekali- sekala kena tengok- tengok juga. Maklumlah kanak- kanak, takutnya dibuainya dengan ‘maximum speed’.
            Habis sahaja berpantang, kami empat beranak pun pulang kembali ke Melaka. Usia anak keduaku belum meningkat tiga bulan, Allah SWT telah mengurniakan sedikit rezeki, maka dapatlah aku membeli sebuah kereta ‘second hand’. Dengan adanya kereta, dapatlah aku menghantar anak ke klinik dan juga bersiar- siar mahupun ke pejabat.
            Ya Allah.. Terlupa pula aku hendak memberitahu nama anak keduaku ini. Namanya Syarifah Mastura Binti Syed Abdullah. Maka, membesarlah kedua- dua anak kami ini yang kami belai dengan penuh kasih sayang. Setiap anak dijanjikan rezeki buatnya. Begitu jugalah rezeki kami. Dengan kehadiran kedua- duanya, maka rezeki kami datang mencurah- curah. Bertambah berserilah rumah tangga kami yang dipenuhi dengan gelak ketawa dan gurau senda serta telatah anak- anak kami. Kakaklah yang kelihat begitu seronok sekali sehingga menyikat rambut adiknya pun dilakukan dengan cermat.
            Ketika kami sekeluarga bersantai di pantai mahupun di gedung beli- belah, ramai yang mencuit pipinya dan ada yang terus mendukung anak- anak kami tanpa meminta izin.
            “Anak- anak ini kembar ke?” Soalan yang sama aku terima setiap kali orang melihat kedua- dua anakku.
            “Buta ke mata mereka ini?” Aku bersunggut di dalam hati.

            Jarak kelahiran antara Kakak dan Mastura genap dua tahun. Tapi tak salah pun anggapan mereka. Memang anak kami hampir seiras. Tak kisahlah itu semua, yang afdalnya, aku wajib banyak bersyukur dengan kurniaan ini.

Terima Kasih

No comments:

>
© DI SEBALIK CERITA INI | Design By Blog Bingkisan Hati