Pages

10 February 2015

BAB 15 : SEMASA TEMU DUGA

              Sebaik sahaja namaku dipanggil, aku terus melangkah masuk ke dalam bilik tersebut. Tiga orang pegawai sedang duduk sebaris di hadapan meja masing- masing. Satu kerusi tanpa meja diletakkan bertentangan dengan pegawai- pegawai itu. Aku terus menuju dan berdiri di sebelah kerusi sambil memberi salam kepada ketiga- tiga pegawai yang berada di situ.
            “Assalamualaikum, Tuan.”
            “Assalamualaikum, Tuan.”
“Assalamualaikum, Tuan.”
Aku memberi salam kepada setiap pegawai yang duduk di situ. Niat dalam hati hendak ketawa pun ada. Macam cerita P.Ramlee pula.
“Berapa kali salam daa….”
Salamku amat tertib kerana aku menundukkan sedikit kepala kepada semua pegawai- pegawai itu sebagai tanda hormat.
“Sila duduk.” Pegawai yang duduk di bahagian tengah memberikan keizinan kepadaku untuk duduk di kerusi yang disediakan itu.
“Terima kasih, tuan.” Aku membalas ringkas dan terus duduk.
“Boleh saya tengok sijil- sijil dan yang lain- lain?” soalnya.
“Boleh, Tuan.” Balasku sambil bangun menghulurkan sijil dan lain- lain yang telah aku keluarkan dari failku itu.
Aku ibarat seperti tunggul ketika pegawai itu membelek- belek sijil dan segala kertas yang aku berikan padanya tadi. Aku berasa pelik dan hairan. Aku hanya ada sehelai sijil sahaja. Bakinya hanya sijil berhenti sekolah, surat beranak, dan kad pengenalan.  Kenapa lama sangat dibeleknya? Aku mula merungut di dalam hati.
“Oh… Mungkin sijil I.C.E aku bagus sangat keputusannya.” Aku mula perasan dengan  mengangkat bakul sendiri.
Pegawai yang berada di bahagian tengah itu banyak menyoal aku. Tiada soalan pun yang menyentuh tentang hal semasa atau sejarah, tetapi lebih kepada peribadiku sendiri yang menyentuh soal adik- beradik, tempat tinggal, dan soalan yang remeh- temeh sahaja.
Sebaik sahaja selesai, aku pun bangun dan bersalaman dengan ketiga- tiga pegawai tersebut. Belum sampai tujuh tapak aku melangkah pergi, tiba- tiba namaku dipanggil.
“Tuan Syed… Boleh Tuan Syed duduk semula?” pelawaan yang aku lihat amat lembut dan sopan sekali.
Aku meminta izin untuk duduk ketika melangkah ke kerusi walaupun aku sudah dengar pelawaannya supaya aku kembali ke tempat dudukku kembali.
“Maafkan saya kerana memanggil Tuan Syed semula kerana ada beberapa soalan yang ingin saya tanya dan tahu dari Tuan Syed.” Katanya sambil melemparkan senyuman padaku.
Senyumannya agak manis, tetapi memandangkan misainya agak tebal, senyuman yang manis itu tidak terserlah. Komen aku di dalam hati.
“Silakan, Tuan.” Sahutku pendek dan ringkas.
Aku mula risau kerana dari awal sampailah sekarang, hanya pegawai yang duduk di bahagian tengah itu saja yang menyoal.
Pegawai kiri dan kanan itu makan gaji buta ke? Asyik tengok gelagat aku sahaja. Smart sangat ke aku ni?” Aku merungut lagi di dalam hati.
“Maafkan saya, Tuan Syed. Tahukah Tuan Syed hari ini merupakan jawatan kosong untuk Jabatan Kerajaan.” Soalnya dengan nada yang lembut walaupun agak menakutkan soalan yang diajukan itu.
“Saya tahu, Tuan. Saya telah bersiap sedia dengan sebaik mungkin untuk menghadiri temu duga hari ini.” Jelasku dengan penuh keyakinan.
“Harap Tuan Syed tidak berkecil hati sekiranya saya menyentuh sedikit tentang personaliti Tuan Syed. Pakaian Tuan Syed agak kemas, tetapi agak besar jika dibandingkan dengan tubuh Tuan Syed. Begitu juga seluar panjang Tuan Syed yang kelihatan kesan tampal dan jahitan di bahagian kiri dan kanannya. Adakah Tuan Syed tidak mempunyai pakaian yang lain?” ulasnya dengan panjang lebar dan diakhiri dengan satu soalan.
“Tuan, baju, seluar panjang, dan tali leher yang saya pakai hari ini merupakan yang terbaik buat saya. Pakaian ini disedekahkan oleh bapa saudara saya khas untuk digunakan sewaktu temu duga ini.” Jawabku ikhlas.
Suasana agak sunyi buat seketika seolah- olah tiada soalan lagi yang hendak diajukan. Dua pegawai yang memakai cermin mata yang berada di kiri dan kanan mula membuka cermin matanya sambil mengelap matanya. Jelas ada sedikit kesan takungan air mata tanda menagis.
Aku ketika itu kelihatan tenang sahaja tanpa ada sedikit perasaan sedih atau bercita- cita ingin menitiskan air mata. Tidak ada sebab untuk aku menagis. Bukan ada berita kematian dari pihakku. Ibu bapaku pun sudah hampir 13 tahun meninggal dunia. Jika ada air mata sekalipun, mungkin itu saki bakinya kerana terlalu banyak ratapan yang telah aku tempuh dan lalui. Dalam kesepian, pegawai yang duduk di bahagian tengah itu membuka failnya. Fail yang agak tebal dan besar, tetapi aku sediri tidak tahu apa yang dicarinya. Selang beberapa minit, beliau bersuara.
“Beginilah Tuan Syed. Saya belum pernah menemu duga seseorang yang menjawab dengan ikhlas seperti Tuan Syed. Ini membuatkan saya berasa terharu dan sedih. Saya berterus- terang sahaja ya? Saya ingin menawarkan salah satu kekosongan jawatan yang ada. Tuan Syed buatlah pilihan sama ada minat untuk berkhidmat dengan ‘Radio dan Televisyen Malaysia’, ‘Telekom Malaysia’, atau ‘Jabatan Kerja Raya’ agar mudah saya mencatit salah satu jawatan ini telah diisi.” Katanya dengan begitu ikhlas sekali.
“Saya bersyukur pada Allah SWT dan berterima kasih kepada Tuan bertiga kerana sudi menawarkan pekerjaan kepada saya. jika Tuan izinkan. Saya memilih Jabatan Kerja Raya sebagai pilihan dan keutamaan saya.” balasku dengan penuh hormat.
“Baiklah, Tuan Syed. Kami akan hantarkan surat tawaran jawatan dalam masa terdekat. Mudah- mudahan Tuan Syed dapat laksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik dan amanah.”
Begitulah keputusan pegawai tersebut umpama nasihat sekaligus memberi jaminan perkerjaan tersebut.
“Terima kasih, Tuan. Semoga Allah SWT memberkati dan membalas jasa dan budi baik Tuan- tuan sekalian. Saya akan pegang amanah tuan untuk bertugas dengan baik.” Jawabku dengan agak emosi sedikit tetapi tidak menagis.

Sebaik sahaja diizinkan keluar, aku pun bangun dan bersalaman sekali lagi kepada ketiga- tiga pegawai tersebut. Aku terus melangkah keluar dengan semangat dan azam baru.

Terima Kasih

No comments:

>
© DI SEBALIK CERITA INI | Design By Blog Bingkisan Hati