Atas usaha gigihku, Alhamdulillah,
dalam tempoh dua tahun aku telah lulus peperiksaan yang diwajibkannya itu iaitu
subjek ‘Road Construction’ dan juga ‘General Paper’. Pekerja yang galagal,
masih terkial- kial. Pekerja yang sudah tamat tempoh percubaan pula agak risau
akan nasib yang tidak pasti. Kejayaanku lebih kepada berusaha bersungguh-
sungguh dengan azam dan cita- cita untuk meningkatkan diri jika diizinkan Allah
SWT. Tidak lupa juga janjiku kepada pegawai yang menemu dugaku dahulu. Jawatan
yang aku sandang hanyalah Juruteknik Rendah sedangkan banyak Juruteknik yang
berkelulusan dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh.
Peperiksaan yang aku lulus pun bukan merupakan
kelayakan untuk kenaikan pangkat, cuma sekadar menetapkan aku dalam jawatan
tetap dan disahkan dalam jabatan sahaja. Peluang untuk aku naik pangkat masih
terbuka dengan syarat aku mesti berani mengambil peperiksaan Juruteknik yang di
adakan setahun sekali. Syaratnya, wajib lulus kesemua empat kertas atau mata
pelajaran iaitu ‘Survey’, ‘Road / Building Construction’, ‘Reinforced
Concrete’, dan ‘Estimating’. Semua kertas ini menggunakan bahasa Inggeris.
Dengar sahaja keempat- empat kertas tersebut, aku sudah mati kutu. Macam mana
aku hendak hadapinya lebih- lebih lagi untuk lulus dengan cemerlang.
Azamku kuat. Cita- citaku juga tinggi. Caranya
mudah iaitu aku mesti berusaha bersungguh- sungguh. Dengan izin Allah SWT, aku
pasti akan berjaya.
Selepas hampir lima tahun aku dalam Bahagian
Jalan, aku pun memohon melalui Ketua Jabatan agar aku diberi peluang untuk
ditukarkan di Bahagian Bangunan. Alhamdulillah. Permohonanku tidak dipersiakan.
Tidak sampai satu bulan, aku telah pun ditukarkan ke Bahagian Bangunan. Banyak
yang aku tidak tahu dan banyak juga perkara baru yang harus aku pelajari.
Selepas genap setahun, aku pun berhasrat untuk menduduki peperiksaan
Juruteknik.
Aku meluahkan hasratku kepada semua juruteknik
mengenai bagaimana caranya untuk memohon dan mengambil peperiksaan tersebut.
Luahan aku dibalas dengan gelak ketawa. Dengan nada sini, mereka memperliku.
“Kami yang berkelulusan MCE dan Politektik Ungku
Omar pun lingkup. Inikan pula engkau yang hanya ada L.C.E sahaja yang berani
nak mengambil peperiksaan itu?”
Pedih telingaku dan aku benar- benar terasa yang
aku ini hina di mata mereka. Beginilah sikap manusia. Bukan mahu menolong,
tetapi lebih kepada mengutuk, menghina, dan membunuh semangat orang lain.
Inshaa-Allah, aku akan cuba dan aku akan buktikan kebolehanku.
Pada suatu hari, aku memberanikan diri untuk
berjumpa dengan seorang jututera bernama IR.Thomas Thamboo. Jurutera ini amat
baik orangnya dan beliau amat suka dengan cara aku bekerja. Tanpa melengahkan
masa, aku meluahkan hasrat, cita- cita, dan azamnku kepadanya untuk mencuba
mengambil peperiksaan juruteknik itu. dengan hati yang penuh ikhlas, jurutera
itu pun mengeluarkan buku- buku dari rak di belakang mejanya dan diserahkan
kepadaku sambil berkata,
“Mr.Syed,
take this books and read it. If your find any complication with the calculation
or anything, please do not hesitate to ask me.”
Ya Allah. Baiknya jurutera ini. Walaupun bukan
beragama Islam, tetapi hati budinya amat baik.
“Thank
you, Sir. I will work hard and study hard.”
Itu saja yang dapat aku jelaskan. Lulus atau
gagal, aku sudah usaha.
Aku pun mengambil kesemua buku- buku rujukan
yang banyak berkaitan dengan bidang teknikal. Buku- buku itu amat berguna untuk
aku hadapi peperiksaan itu kelak. Aku terus membaca, membuat kiraan, serta
menghafal sesetengah formula. Tidak kurang juga aku kerap berjumpa dengan
jurutera IR.Thomas Thamboo sekiranya ada yang tidakku fahami. Permohonan dan
borang untuk mengambil peperiksaan telah lama aku hantar.
No comments:
Post a Comment