Sebaik memberi salam, seorang lelaki membuka
pintu dan amat terperanjat melihat aku yang tercegat di luar. Banyak pula soal
jawabnya. Bila sampai? Hendak ke mana? Naik apa dan bermacam- macam soalan yang
menambahkan kepenatan dan keletihan aku. Ketika waktu menghampiri Magrib, aku
membersihkan diri dan bersiap sedia untuk mendirikan solat.
Selesai sahaja menunaikan Fardu Magrib, kami
dipelawa untuk makan bersama. Kebetulan bersebelahan garaj kereta, ada dua
bilik yang diubah suai untuk anak- anak bujang mereka. Seorang bernama Syed
Sahil bin Syed Omar dan seorang lagi bernama Syed Mohamed bin Syed Omar.
Dapatlah kami menumpang disitu untuk tempoh yang tidak pasti berapa lama. Aku
pun menceritakan hasrat untuk mencari pekerjaan. Tidak kisahlah apa kerjanya,
yang penting aku dapat kerja untuk menyara hidupku ini. Kebetulan pula tuan
rumah yang bernama Syed Omar itu memiliki kedai di Pekan Kuantan dan merupakan
pengusaha kain songket yang agak terkenal di situ. Aku diambil kerja sebagai
jurujual yang tidak mempunyai apa- apa pengalaman. Mereka tidak kisah berapa
lama aku hendak tinggal di bangsal garaj itu dan aku pula tidak berasa janggal
kerana aku dapat membantu menjaga kedai mereka.
Syed Sahil pula adalah seorang jurujual kereta dan
baik dan baik orangnya. Di biliknya yang agak kecil itulah kami berempat tidur
bersama. Kami kerap juga di ajak keluar makan di luar. Semoga Allah SWT
memurahkan rezekinya. Dia bukanlah orang yang senang, tetapi raut wajahnya amat
ikhlas untuk menumpangkanku buat seketika dirumahnya itu.
Pada suatu hari, ada seorang tetamu dari
Terengganu bernama Syed Mohammad datang untuk menziarahi Syed Omar. Alangkah
terperanjatnya apabila melihatku yang turut berada di rumah Syed Omar.
Syed Mohammad merupakan seorang Pegawai Kanan
Polis berpangkat O.C.C.I (Officer in-Charge of Crime and Investigation). Belum
sampai tiga minggu kami berada di Kuantan, kini saudaraku pula berhajat
membawaku ke Kuala Terengganu. Bagaimana pula nasib kawanku kalau aku ke Kuala
Terengganu? Namun, perancangan Allah itu Maha Hebat kerana kebetulan pula abang
kandung Nasir memang bekerja di Kuala Terengganu di Pejabat Tanah dan Galian
dan saudara aku amat kenal dengannya. Maka kami berdua bersama- sama ke Kuala
Terengganu dan disinilah kami terpaksa berpisah dan membawa haluan masing-
masing. Nasir menetap bersama dengan abangnya dan aku pula mengikut saudaraku
yang tali persaudaraan yang agak jauh itu.
No comments:
Post a Comment