Pages

20 January 2015

BAB 1 : SUASANA KEADAAN KAMPUNG

Pepatah Melayu pernah merungkap, “Langit tidak selalu cerah, mendung tidak menjanjikan hujan, air laut ada pasang surutnya dan juga mengharapkan panas sampai ke petang, tetapi hujan di tengah hari dan banyak lagi kiasan yang semuanya bermaksud, ‘tidak kesampaian’. Begitulah nasib hidupku di atas bumi Allah SWT ini. Seperti kanak- kanak lain yang mempunyai ibu bapa untuk menumpang kasih sayang, aku juga tidak terkecuali namun kasih sayang yang aku kecapi dari kedua ibu bapaku hanyalah sekadar berusia 5 tahun sahaja.
            Aku bermukim dan beralamat di No.109A Kampung Bukit Cina, Melaka. Disinilah tempat tumpah darahku. Terletak berhampiran dengan Pekan Melaka Tengah, disinilah sebuah perkampungan Melayu yang penghuninya tidak sampai 50 buah rumah. Walaupun berhampiran dengan pecan, penduduk kampung ini bukanlah terdiri dari orang- orang senang dan kaya- raya. Kehidupan masyarakat di kampong ini ketika itu amat sederhana sahaja. Walaupun masih ada infrastruktur yang belum lengkap seperti keperluan air paip dan elektrik, namun kehidupan harian tetap berjalan seperti biasa. Seingat aku, ketika itu tidak ada sebuah kerta pun yang dimiliki oleh penduduk kampung ini. Peti televisyen memang tidak wujud sama sekali zaman itu. Yang boleh dibanggakan adalah basikal tua milik guru sekolah ataupun kerani yang bekerja di Jabatan Kerajaan. Pada malamnya, cahaya yang menerangi rumah bukanlah semuanya dari tenaga elektrik, tetapi dari cahaya ‘Lampu Gasolin’. Begitu juga bekalan air. Tidak semua rumah mampu untuk pemasangan paip ke rumah tetapi mengharapkan sumber perigi atau telaga untuk kegunaan mandi, membasuh pakaian mahupun untuk minuman. Kolah di setiap rumah merupakan satu kemestian untuk menyimpan bekalan air. Untuk memenuhi kolah di rumah masing- masing, penduduk harus menimba dan mengandar air tersebut dari perigi ataupun mengupah orang- orang yang sanggup melaksanakan kerja tersebut berserta dengan upahnya. Kadar mengupah orang- orang yang mengandar air itu pun bukanlah mahal sangat, hanya sekadar 20 sen atau 30 sen sahaja. Membasuh pakaian lazimnya dilakukan di perigi ataupun di pili paip yang disediakan kerajaan dan hanya satu sahaja di setiap kampong. Bagaimana pula dengan tandas? Tidak wujud tandas jenis ‘pump’ ketika itu.  Yang pasti setiap rumah mempunyai tandas jenis ‘angkut’ iaitu sejenis tong getah diletakkan di bawah tandas dengan ruang terbuka dibelakang agar mudah diangkut oleh pekerja pembandaran yang akan mengambilnya setiap hari jam 4 atau 5 pagi. Tandas ini lebih dikenali dengan ‘Jamban Angkut’.
            Dengan gambaran sebegini dapatlah kita bayangkan kehidupan ketika itu agak sukar. Tetapi masyarakat ketika itu bersyukur dan redha apa yang mereka miliki. Tidak ada seorang pun yang ghairah atau berlumba- lumba untuk membesarkan rumah mahupun untuk membeli perabot yang mewah untuk menghiasi kediaman masing- masing. Perbelanjaan lebih tertumpu kepada keperluan harian seperti beras, susu, tepung, gula, dan lain- lain. Gula pasir ketika itu berharga hanya 15 sen sekati.

              Ada hasrat nak menonton wayang? Boleh…. Tetapi kena tunggu sebulan sekali apabila ‘Landrover’ dari Pejabat Penerangan datang untuk memberitahu penduduk hal- hal semasa ataupun perancangan kerajaan untuk rakyat. Ketika inilah ditayangkan termasuk wayang cerita- cerita lama. Di panggung mana pula wayang ini di tayangkan? Di panggung Kapitol ke? Panggung Rex ke? Atau panggung Odeon? Oh tidak! Panggungnya tetap di kampung dan layarnya pula diikat antara dua batang pkok kelapa.  Panggung tanpa tempat duduk… Memadailah duduk sahaja di atas rumput atau dialaskan dengan tikar. Suasana yang tidak mungkin generasi sekarang mahupun yang akan datang merasainya. Inilah zaman yang aku nikmati bersama ayah dan ibu serta abang dan adik. Ketika itu usiaku lima tahun. Abang berusia 8 tahun dan adik bongsu sekitar dua tahun setengah.

Terima Kasih

No comments:

>
© DI SEBALIK CERITA INI | Design By Blog Bingkisan Hati