Pages

30 January 2015

BAB 7 : MELANGKAH KE SEKOLAH MENENGAH

        Rasanya azab sengsara yang aku lalui amat pantas. Mungkin kerana sibuk dengan tugas yang tidak ada kesudahannya ini, kini sedikit hari sahaja aku akan melangkah masuk ke sekolah menengah. Sebelum aku terlupa, sepanjang 6 tahun, dari darjah satu hingga darjah enam, semua buku- buku bacaan dan latihan, kesemuanya merupakan buku pinjaman dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka. Kadang- kadang bila dilihat ‘cop’ yang ada di setiap buku sebagai buku Jabatan Kebajikan, terasa juga hatiku. Tebal mukaku dan macam- macam perasaan bermain dalam hati dan fikiran. Namun hakikat dan realitinya harus aku terima tanpa pilihan. Lainlah kalau aku ini dilahirkan dari keluarga kaya dan berada, tak mungkin aku lalui nasib sebegini. 
            Bolehkah remaja masa kini sanggup melalui hidup begini ditambah pula dengan pemberian sedekah baju dan seluar oleh orang ramai. Ada yang perlu di tampal dan tidak kurang juga pakaian yang merupakan rezeki buat diriku. Aku bersyukur dan redha untuk memakainya di samping mendoakan sesiapa sahaja yang menyedekahkan pakaian itu untukku. Semoga mereka di tempatkan di syurga kelak kerana ihsan dan simpati kepada anak yatim piatu.
            Keputusan peperiksaan bulanan mahupun peperiksaan penggalku tidaklah memberangsangkan dan tidaklah di bawah tahap gagal dan bodoh. Kata orang putih, ‘average standard’ sahaja. Semua cikgu yang mengajar aku, tidak kira apa- apa matapelajaran sekalipun, pasti mengakui aku merupakan pelajar yang agak celik dan cerdik, Cuma keadaan dan suasana hidupku yang tidak dibimbing dengan sempurna membuatkan aku tidak dapat mengejar kebolehan diri sendiri. Seorang guru yang mengajar Bahasa Inggeris dan Matematik pernah berterus- terang dan ikhlas berkata padaku,
            “Syed, I really pity you. You have big potentials and bright future if only you be given a proper guidance.”
            Sebenarnya aku sudah bosan dan jemu untuk terus tinggal di rumah bapa saudaraku ini. Bukanlah pula aku ini termasuk dalam golongn ‘kacang lupakan kulit’, tetapi memandangkan anak- anak bapa saudaraku juga sama membesar maka eloklah aku cari tempat lain untuk mencuba nasib. Kebetulan pula seorang bapa saudaraku baru berkahwin dan isterinya pula sedang sarat mengandung anak pertama. Dia beria- ia sangat nak ambil aku tinggal bersama mereka di sebuah kuarters kerajaan dua tingkat serta memiliki tiga buah bilik, dua di tingkat atas dan satu di bawah anggaran sebesar stor. Aku rasa stor ini sesuai sikit untuk aku buat ulangkaji kerja sekolah mahupun berehat. Bagus juga bilik ini dilengkapi dengan katil bujang serta kabinet baju yang dilekap di dinding (Built in Cabinet).

Terima Kasih

No comments:

>
© DI SEBALIK CERITA INI | Design By Blog Bingkisan Hati