Pages

24 January 2015

BAB 3 : KALI INI AKU AMAT TERASA

Semenjak arwah ayahku meninggal, lebih- lebih lagi di dalam bulan Ramadhan, Setiap petang ada sahaja tetamu yang datang. Ada di antaranya yang membawa kuih- muih dan ada juga merupakan lauk-pauk untuk berbuka puasa. Lazimnya, kuih- muih itu tidak sampai pun untuk santapan berbuka puasa buat ibu dan abangku kerana aku dan adik perempuankulah yang telah menghabiskannya terlebih dahulu. Aku juga kerap diketuk di kepala oleh abang gara-gara menghabiskan kuih sukaannya. Dia tahu aku tidak melawan, bolehlah dia sekel- sekel kepalaku dan tidak kurang juga telinga aku dipulasnya. Selama ini aku pula tidaklah tahu ibuku ada penyakit yang amat serius iaitu barah payu dara. Kalau diceritakan kepada anak- anak pun, mereka pun tidak akan faham bagaimana jenis penyakit itu. Kematian pun tidak faham, inikan pula penyakit yang boleh meragut nyawa.
Di antara kami tiga beradik, akulah anak yang paling rapat dan manja dengan ibuku. Tidurku dipeluk, telingaku ditekup dengan bantal kecil khas untukku agar dapat menghindari dari kedengaran dentuman petir. Paha ibuku juga merupakan bantal pelukku. Kalau ada apa- apa yang aku minta, ibuku curi-curi menyuapkan terus ke dalam mulutku agar tidak kelihatan oleh abang atau adikku. Kalau ternampak, kepala dan telingaku pasti akan menjadi mangsa abang.
Penyakit yang dihidapi ibuku sebenarnya sudah sampai ke tahap menghitung hari. Maka ibuku dibawa tinggal di rumah nenekku bukan tujuan rawatan susulan tetapi menunggu saat kematian.
Tepat jam 8 malam, Jumaat bersamaan 27 Ramadhan, Ibuku pula menghembuskan nafas terakhirnya. Memandangkan sudah malam, maka segala urusan pengebumian harus dilakukan esok pagi sahaja. Malam itu aku tidur di sisi arwah ibuku tanpa aku fikirkan yang ibuku juga telah meninggal dunia. Akulah peneman setia ibu. Bezanya aku rasakan, kenapa aku tidak dipeluk dan bantal kecil tidak ditekupkan di telingaku. Sesiapa sahaja yang melihat gelagat aku ketika itu, pasti akan menitiskan air mata. Seorang anak yang belum mengerti apa itu kehidupan tetapi telah melalui perpisahan buat selama- lamanya.
Keesokan harinya, pagi- pagi lagi orang ramai telah berpusu- pusu datang untuk menziarahi jenazah ibuku. Setelah selesai segala urusan sehingga pengebumian, maka tinggallah aku tiga beradik menumpang sementara di rumah nenekku. Arwah ibuku disemadikan tidak beberapa langkah sahaja dari perkuburan tempat semadinya arwah ayahku.

Terima Kasih

No comments:

>
© DI SEBALIK CERITA INI | Design By Blog Bingkisan Hati