Rutin tugas ini berlarutan sehingga
aku di Tingkatan Lima. Bagaimana harus aku hadapi peperiksaan sekiranya beban
tugasku berterusan sebegini? Sekiranya di’jamak’kan jumlah tahun, dikira
selepas kematian ibu bapaku, wajarlah aku kini boleh dianggap ‘pakar’ dalam
bidang yang aku lakukan selama ini. Ketika ini, usiaku telah memasukki zaman
remaja dan tidak mustahil aku boleh buat ‘tunjuk perasaan’ mahupun membuat satu
keputusan drastik.
Pada penggal pertama sesi
persekolahan dalam tingkatan lima, semua pelajar dikehendaki membayar yuran
untuk menghadapi peperiksaan ‘Malaysian Certificate of Education’ atau ‘MCE’
atau lebih dikenali dengan ‘Senior Cambridge’. Ketika itu, yuran setiap mata
pelajaran ialah RM7.50. Memandangkan aku mengambil 9 mata pelajaran, maka aku
harus membayar
RM 7.50 x 9 = RM
67.50. Ya Allah…. Macam mana hendak aku ceritakan kepada bapa saudaraku yuranku
sebanyak itu dan wajib dibayar sebelum cuti penggal pertama. Yang
menghairankan, menakjubkan, dan mengajaibkan, dalam keadaanku yang kurang fokus
pada pelajaran, aku berupaya dan layak menduduki kelas Sains. Di atas palang
pintuku terpampar jelas ‘5 Science 1’. Patutlah cikgu kata aku pandai, cuma
kurang bimbingan. Aku tak kisah semua itu. mereka tidak hidup dalam keadaan dan
suasana hidupku, justeru mereka tidak merasai keperitan dan keazabannya. Bak
kata pepatah Inggeris, “You are not in my
shoes, so what do you know about my sufferings?” Berhabuk juga bahasa
Inggeris aku kan? Aku telah mengwar- warkan kepada kawan- kawan sedarjah,
sekiranya aku tidak dapat melunaskan yuranku sebelum cuti penggal pertama ini,
besar kemungkinan aku akan membuat keputusan berhenti sahaja. Hasratku telah
sampai ke pengetahuan cikgu Sains bernama Pn. Grace Richards. Beliau amat
terkejut dengan keputusan ini dan beliau terus saja berjumpa denganku agar aku
membatalkan sahaja niat itu dan terus menumpukan kepada peperiksaan yang
tinggal hanya beberapa bulan saja lagi. Beliau sanggup membayar kesemua yuranku
asalkan aku mahu terus belajar dan melupakan niat untuk berhenti itu. Baik
sungguh hati budi cikgu ini walaupun beliau bukan beragama Islam.
Buatlah apa sekalipun, namun hasrat
untuk terus belajar telah terkubur dan yang bermain di fikiranku hanyalah mahu
berhenti dan cari apa sahaja kerja. Tetapi, apakah kerja yang layak buat diriku
yang hanya memiliki L.C.E. (Lower Certificate of Education) sahaja? Memang
benar dan sahih, kelulusan aku tidak akan membawaku pergi ke mana. Aku sedar
hakikat ini. Cita- cita aku pun bukan melambung tinggi dan jawatan ‘peon’ atau
budak pejabat ataupun bekerja sebagai pemungut sampah dengan Majlis Pembandaran
Melaka saja. Aku pun terus ke Pejabat Buruh dan mendaftar di samping mengisi
borang SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) dengan memohon jawatan yang setimpal
dengan kelayakan aku. Kadang- kadang bermain juga dalam kotak fikiranku, kenapa
keputusan begini harus aku ambil sedangkan aku bukannya bodoh. Keputusan setiap
peperiksaan sentiasa berada di atas paras sederhana. Hanya ruang dan peluang
sahaja yang tidak ada. Kalau ada, pasti aku juga boleh berjaya macam orang
lain. Aku nekad dan keputusan aku adalah muktamad!
Kerja apa saja tidak menjadi
persoalan. Yang mustahak, aku ada sedikit duit belanja untuk makan minum dan
pakaian. Sudah puas sangat aku memakai pakaian bertampal. Inilah usia remaja.
Perubahan datang mendadak. Itu semua normal. Kini, aku mahu berdikari tanpa
mengharapkan makan minum atas ihsan orang, lebih- lebih lagi menjadi ‘babu’ dan
‘khadam’ orang.
No comments:
Post a Comment