Pages

28 January 2015

BAB 4 : PERMULAAN PERPISAHAN 3 BERADIK

Kami tiga beradik tinggal sementara waktu di rumah nenek beralamat No.41, Kampung Bandar Kaba, Melaka untuk beberapa ketika sebelum kami diagihkan diantara saudara- mara yang sanggup membela kami. Selepas seminggu, berpindahlah kami bertiga di rumah bapa saudara sebelah arwah ibu. Kami bertiga umpama barangan, asyik berpindah- randah kerana masih belum ada kata putus di mana harus kami menumpang selepas ini. Pada malam harinya, aku diberi tempat tidur, betul- betul di bawah tangga loteng. Elok sahaja susunannya tiga beradik dalam satu barisan seperti askar yang tidur di bereknya.
            Aku tidak dapat lelapkan mataku kerana kerap ingatkan arwah ibuku. Abangku yang berada disebelah kanan, elok sahaja tidurnya begitu juga dengan adikku. Kalau aku yang berusia lima tahun belum faham dan mengerti erti kematian dan perpisahan, inikan pula adikku yang hanya berusia dua setengah tahun. Tidak tahulah aku bila mataku terlelap, tetapi yang jelasnya aku terlelap ketika sedang sedu menangis mengingatkan arwah ibu. Di bawah tangga loteng inilah kami berkumpul untuk jangka masa tidak sampai dua minggu. Satu perbincangan diadakan di antara adik- beradik arwah ibuku dan kata sepakat keputusannya seorang bapa saudara dan ibu saudara hanya mampu menjaga seorang sahaja dari kami. Ini bermaksud kami tiga beradik harus berpisah.
            SubhanAllah…. Beginilah ketentuan liku- liku hidupku selepas kematian ibu bapa. Maha suci Allah SWT, setiap perhitungannya walaupun pada zahir mata memandang amat azab dan terseksa, namun pasti ada hikmah disebaliknya. Akhirnya, kami bertiga berpisah juga. Keadaan hidup begini boleh meninggalkan kesan ‘fobia’ kepada kami tiga beradik bila dewasa kelak. Manakan tidak, selepas kematian arwah ayah, diikuti dengan arwah ibu dalam jangka masa tidak sampai tiga minggu, kini perpisahan adik- beradik pula. Dimulai dengan adik perempuanku yang bakal kekal di rumah sekarang dan abangku ke rumah ibu saudara di Bandar Hilir, Melaka serta aku yang masih belum ada tempat yang kursus untuk didiami. Maka aku juga bakal kekal bersama adikku di rumah sedia ada.

            Tidak dapat aku ceritakan perihal kehidupan abangku kerana kami tidak ada cara untuk berhubung. Namun, pastinya abangku berada di bawah jagaan orang yang bertanggungjawab dengan anggapan yang menjaga pun bukanlah orang lain, tetapi tali persaudaraan yang amat rapat. Bilakah kami bertiga boleh bertemu? Biarlah kisah itu diceritakan pada akhirnya. Cerita hidupku merupakan ‘fokus’ buat tatapan semua.

Terima Kasih

No comments:

>
© DI SEBALIK CERITA INI | Design By Blog Bingkisan Hati