Pages

21 January 2015

BAB 2 : DETIK PERPISAHAN KASIH SAYANG

         Keadaan dan suasana ketika itu sudah jelas menggambarkan kesusahan dan kesempitan hidup penduduk kampung dan ini bukan sekadar kampung Bukit Cina sahaja. Di mana- mana pun kampung ketika itu suasana tetap sama. Ketika usiaku genap lima amat tahun, yang mana usia sekecil itu amat memerlukan kasih sayang, Ayahku telah jatuh sakit dalam tempoh yang amat singkat dan akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir. Maha suci Allah SWT, yang telah menentukan hidup matinya seseorang hambaNya. Dengan kembalinya ayahku ke Rahmatullah, maka aku kini sudah menjadi yatim pada tanggalnya 7 Ramadhan tahun 1957. Ini bermakna umat Islam baru sahaja menyambut 7 hari berpuasa. Aku yang tidak kenal apa itu kematian, dikelilingi dengan tangisan ibuku, abangku dan semua yang hadir turut serta menangis, tetapi aku dan adik perempuanku terkebil- kebil melihat suasana sekeliling tanpa perasaan. Inilah yang dinamakan kanak- kanak yang belum berakal. Aku dapat melihat bagaimana ayahku dimandikan, dikafankan dan seterusnya dibawa ke masjid untuk disolatkan dan akhirnya ke tanah perkuburan untuk disemadikan. Aku dipimpin dan adakalanya didukung oleh jiran tetangga mengiringi jenazah ayahku hinggalah selesai pengebumian.

         Selepas lebih kurang satu minggu, aku bertanya kepada ibuku kenapa ayah tak pulang ke rumah lagi? Kenapa mesti orang letakkan ayah dalam tanah? Begitulah persoalan seorang kanak- kanak yang tidak mengerti apa itu kematian. Berpuluh kali, bahkan mungkin beratus kali aku tanyakan soalan ini kepada ibuku. Walaupun diberitahu ayahku sudah meninggal dunia, tetapi soalan yang sama juga yang akan aku tanya. Hanya aku hairan, setiap kali aku ajukan soalan tentang arwah ayah, ibu pasti mengalirkan air mata. Itu pun menjadi tanda soal bagiku. Kenapa ibu perlu menangis?

Terima Kasih

No comments:

>
© DI SEBALIK CERITA INI | Design By Blog Bingkisan Hati