Pages

19 January 2015

MUKADIMAH : PATAH DAHAN TEMPAT BERTAUT

           Maha suci Allah SWT yang mencipta sekalian alam. Maha suci Allah SWT yang mencipta bulan dan matahari, dengan pengedaran yang telah ditentukanNya. Justeru dengan rahmat Allah SWT inilah seluruh makhluk yang menghuni alam semesta ini merasai nikmat siang dan juga malam. Dijadikannya siang untuk seluruh makhluk yang hidup untuk mencari rezeki, begitu jugalah nikmat malam yang psemua makhluk dapat beristirehat dan tidur.
            Setiap yang bermula pasti berakhir, yang muda menjadi tua, yang sihat pasti sakit, yang kuat pasti lemah dan begitu jugalah yang hidup pasti mati. Sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Setiap yang hidup (bernyawa), pasti mati.” Begitu juga alam semesta ini, apabila telah sampai tempoh yang ditentukan Allah SWT, maka alam semesta ini juga akhirnya akan menemui kehancuran. Itulah yang kerap disebut di dalam Al-Quran sebagai ‘Hari Kiamat’.
            Sebagai manusia atau insan yang dicipta Allah SWT, maka kehidupan hanya merupakan tempat persinggahan yang amat singkat, di mana perjalanan seterusnya amat jauh diikuti pula dengan Alam Barzakh dan seterusnya ke alam akhirat. Maka bolehlah kita menganggap yang kita semua merupakan musafir. Di akhirat nanti kita akan dikumpulkan dan akan diadili di hadapan Allah SWT. Tiada seorang pun yang akan teraniaya sama ada amalan baik mahupun yang jahat, tetap akan diperlihatannya, hatta kebaikan mahupun kejahatan sekecil ‘zarah’ atau atom pun akan diambil kira di atas ‘Mizan’ atau penimbang atau dacong Allah SWT. Semua yang tercatit, semuanya adalah perihal semasa di dunia.
            Dunia…. Merupakan tempat untuk bersenang lenang, tempat mencari rezeki dan mengumpul harta serta tempat untuk merebut peluang beribadat sebanyak- banyaknya sebagai bekalan untuk hari akhirat. Justeru, Allah SWT telah menjanjikan dan menyediakan ganjaran ‘Syurga’ kepada hamba- hambaNya yang telah banyak membuat amal kebajikan, begitu juga ganjaran dan balasan ‘Neraka’ buat mereka yang lalai dari perintah Allah SWT dan juga yang banyak membuat dosa serta kerosakan di atas bumi Allah ini.
            Maha suci Allah SWT yang telah mencipta hambaNya dengan ketentuanNya. Ada yang kaya dan ada yang miskin, begitu juga ada yang cukup sifatnya dan ada juga cacat sifat anggotanya. Ada yang hidup sehingga usia yang sangat lanjut dan tiding kurang juga yang amat singkat usianya. Semua ini merupakan tanda- tanda kebesaran Allah SWT yang perlu kita hayati. Lihat sahaja sebagai contoh, sebatang pokok kelapa. Ada kelapa yang sudah ditumbuhi tombong dan pucuk tetapi masih tidak gugur. Ada putik kelapa dan mayam kelapa bertebaran jatuh ke bumi. Ini kita boleh mengambil iktibar bahawa jangan disangkakan apabila keadaan sudah tua baru kita meninggal dunia. Maka kesimpulannya, amal ibadat jangan ditangguhkan untuk dilakukan pada hari dan usia tua  kerana amat dikhuatiri hari tersebut tidak kesampaian dan mati dalam keadaan tidak bersedia.

            Ajal maut, jodoh, dan perpisahan semuanya terletak pada ilmu dan ketentuan Allah SWT. Sepotong ayat di dalam Al-Quran yang bermaksud, “Wahai Muhammad, apabila ditanyakan tentang roh, katakanlah ianya terletak dalam pengetahuan Allah SWT.” Di akhir mukadimmah inilah, aku akan mula berbicara tentang kisah hidup aku sebagai seorang yatim piatu yang aku nukilkan sebagai tajuk “Patah Dahan Tempat Bertaut”.

Terima Kasih

© DI SEBALIK CERITA INI | Design By Blog Bingkisan Hati