Pages

31 January 2015

BAB 10 : MULA MERANTAU

Keputusan berhenti sekolah telah aku buat tanpa pengetahuan sesiapa. Apakah harus aku lakukan untuk meneruskan hidup? Kelulusan tidak seberapa, persekitaran dunia luar langsung tidak kutahui. Kini, aku nekad pula untuk merantau. Pada malam sebelum memulakan perantauan, aku terlebih dahulu telah memasukkan sehelai dua pakaian ke dalam bag galas. Aku juga telah menyuarakan hasrat dan tujuanku kepada seorang jiran yang setahun dua sahaja lebih tua dari usiaku yang bernama Nasir bin Hassan atau lebih mesra dengan panggilan ‘abang’. Ibu bapanya  juga memanggilnya dengan panggilan tersebut. Setelah berbincang, akhirnya kami bersepakat untuk memulakan perjalanan menuju ke Kuantan, Pahang. Bagaimana hendak ke sana dan ke mana hala tuju masih kabur lagi. Tetapi, yang pastinya, kami akan merantau ke negeri Pahang juga. Aku hanya tahu ada seorang saudara yang pertaliannya agak jauh menetap di sana. Tempatnya bernama Kampung Selamat, Kuantan yang menghala jalan ke Telok Cempedak. Aku sekadar tahu menyebut jalan dan kampung itu sahaja, tetapi arah dan tempatnya di mana, kami tidak tahu. Inshaa- Allah, kalau rajin bertanya orang di sekeliling, kami tidak akan sesat. Itulah kata- kata perangsang dan kata- kata hikmah yang aku pegang.
Pagi itu, kami terus berjalan sambil sesekali menoleh ke belakang sambil menunjukkan isyarat ‘mahu menumpang’. Nasib kami amat baik. Baru berjalan tak sampai empat batu, sebuah ambulans tanpa pesakit berhenti dan mempelawa kami naik. Pemandu itu bertanya ke mana hala tuju kami dan kami memberitahu bahawa kami ingin ke Kuantan, Pahang. Tetapi pemandu itu memaklumkan bahawa dia ingin ke Kuala Lumpur dan akan menumpangkan kami setakat di situ sahaja. Perjalanan kami seterusnya nanti terpaksalah kami usahakan berpandu pada nasib. Perjalanan dari Melaka ke Kuantan bukanlah perjalanan yang singkat atau dekat. dengan duit aku sebanyak 50 sen dan kawanku 75 sen, apa yang mampu kami beli? Kami pasrah dan kami serahkan kepada Allah SWT. Kami berdoa agar kami boleh sampai ke tempat yang hendak kami tujui dengan selamatnya.
Rezeki dan nasib kami amat baik. Sebaik sahaja diturunkan di Kuala Lumpur, sebuah trailer muatan kuda sedang berhenti dan pemandunya sedang mengisi minyak. Kami menceritakan kepada pemandu trailer itu bahawa kami hendak ke Kuantan. SubhanAllah… Kebetulan pemandu itu hendak menuju ke Pekan Kuantan dan kuda- kuda yang berada di dalam trailer itu adalah kepunyaan Sultan Pahang unuk bermain “Polo”.
Kami pun dibenarkan naik tapi harus duduk di belakang bersama- sama dengan kuda- kuda tersebut. Perjalanan agak jauh juga dan apabila pemandu itu berhenti rehat, kami juga dipelawa untuk minum bersamanya. Alhamdulillah, dapat juga kami hilangkan haus dengan segelas tea dan juga sekeping roti canai. Semoga Allh SWT murahkan rezeki pak cik itu.
Sebaik sahaja sampai di satu simpang, pak cik itu memberhentikan trailernya di bahu jalan sambil berkata kepadaku,
“Pak cik terpaksa belok ke kanan untuk ke Pekan. Anak- anak yang hendak ke Kuantan kena terus sahaja ya.” Begitulah ikhlasnya seorang pemandu trailer.
“Terima kasih, pak cik.” Balas kami sambil mencium tangan tuanya itu.
Usia pemandu trailer itu pun dalam lingkungan 50an.
Kami menerukan perjalanan kami dengan berjalan kaki seperti yang diarahkan oleh pak cik itu tadi. Tidak sampai 10 minit berjalan, sebuah kereta buruk yang patut dihukum tembak berhenti betul- betul di sebelah kami. Lelaki dalam lingkungan 35 tahun itu pun keluar dan bertanya,
“Adik berdua hendak ke mana?”soalnya.
“Kami hendak ke Kuantan, bang” jawabku sambil mengharap dapat menumpang.
“Kuantan tu besar, dik. Apa nama tempat yang adik nak tuju?” tanyanya untuk kepastian lagi.
“Kami hendak ke Kampung Selamat, jalan menuju ke Teluk Cempedak.” Jawabku yakin seolah- olah aku pernah menjejakkan kaki ke sana.
“Oh. Abang biasa tempat itu. Abang hendak ke Beduk, nanti abang turunkan adik kat situ ya?”balasnya dengan penuh keikhlasan.
Ya Allah begitu mudah sekali perjalanan kami. Duit 50 sen dalam poketku pun tak terusik langsung.
Sebaik sampai ke destinasi kami, abang itu terus menyuruh kami turun lalu beredar ke haluannya pula. Kami sempat menyium tangannya dan mengucapkan terima kasih. Semua orang yang menumpangkan kami tadi, kami doakan agar mereka dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.

Setelah itu, aku pun memulakan perjalanan dan bertanya kepada salah seorang penduduk kampung itu dimana letaknya rumah Syed Omar Al-Hinwan. Mujur mereka mengenali nama tersebut dan menunjukkan tempat dimana kerana Syed Omar Al-Hinwan ini merupakan seorang ahli perniagaan kain songket yang terkenal di Pekan Kuantan.

Terima Kasih

No comments:

>
© DI SEBALIK CERITA INI | Design By Blog Bingkisan Hati