Pages

31 January 2015

BAB 8 : BERPINDAH KE RUMAH BARU

Setelah mencuci rumah, kami pun masuklah ke rumah baru ini. Ketika waktu malam, aku teringat adik perempuan yang terpaksa aku tinggalkan buat pertama kali tanpa pengawasan seorang abang. Ketika ini dia pun sudah besar panjang dan pandailah dia jaga diri.
            “Ya Allah, Engkau pelihara dan lindungilah adikku agar dia sentiasa dalam keadaan sihat.”
            Begitulah doa yang kerap aku pohon buat adik perempuanku itu. Tidak sampai seminggu, isteri bapa saudaraku pun melahirkan anak. Memandangkan aku sahaja yang boleh diharapkan, maka aku pun diberi tugas yang tidak pernah aku lakukan sebelum ini. Tugas ini lebih mencabar macam orang baru naik pangkat.
            Tugas utamaku ialah membersihkan najis dari napkin. Buang najis, rendam, basuh, dan seterusnya disidai di ampaian. Apabila sudah kering, dilipat dan dimasukkan ke dalam bakul. Tidak cukup dengan tugas itu, aku juga dikehendaki membancuh susu bayi ke dalam botol dengan sukatan tertentu dan terus menyusu bayi. Selesai menyusu, aku akan dakapkan bayi itu di bahuku sambil mengusap lembut belakangnya hingga bersendawa. Ini sudah setaraf dengan bidang bidan kampung atau jururawat. Lama- kelamaan aku jadi pandai sehingga kebolehanku semakin bertambah kerana aku boleh memandikan bayi dalam besin mandinya. Aku akan lapkan badan bayi itu sehingga kering, menyapu bedak ke seluruh tubuh badannya dan seterusnya memakaikan napkin dan pakaiannya. Selepas itu, aku buaikannya dalam buaian sehinggalah bayi itu terlelap. Ketika inilah aku mengambil peluang sama ada mengurukan diri pula atau menyiapkan kerja sekolah. Memang mencabar sungguh! Cukup mencabar demi sesuap nasi…
            Ada ketikanya aku rasakan seolah- olah mereka mengambil kesempatan dari kudratku. Ini belum lagi tugas yang melelehkan air mata dan memijaukan tangan. Menggiling cili di atas batu giling sehingga lumat dan seterusnya mencedoknya dengan tangan untuk diletakkan di atas pinggan. Jika sekiranya kedua tapak tangan ini boleh berbicara sebagai saksi, pastinya anda sekalian amat tersentuh dan simpati mendengarnya.
            Bukan untuk mmbanggakan diri, tetapi kumpulkanlah semua anak kesemua anak gadis seusiaku, pastinya mereka belum boleh menandingi aku dengan gilingan cili yang sangat lumat dan halus. Azabku ketika ini sebagai ‘khadam’ dengan semua kebolehan yang aku perolehi, inshaa-Allah akan aku praktikkan apabila aku ditakdirkan berumah tangga pada suatu masa nanti.

Terima Kasih

No comments:

>
© DI SEBALIK CERITA INI | Design By Blog Bingkisan Hati