Hari berganti hari, bulan berganti tahun dan begitulah waktu berlalu. Tahu- tahu saja kini aku telah menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Nama sekolahku, ‘St. Francis Institution’ merupakan sebuah sekolah aliran Inggeris yang jaraknya dari rumah tidak sampai setengah batu. Aku telah dididik dengan disiplin dengan tugas harian yang harus aku lakukan. Pastinya aku mesti sedar yang aku ini menumpang di rumah orang walaupun serapat kekeluargaan sebagai bapa saudara. Dalam urusan kasih sayang? Tidak tahulah aku hendak mengupasnya, tetapi yang jelas mereka mempunyai empat orang anak. Tiga perempuan dan seorang lelaki. Aku Cuma dapat rasakan perbezaanya adalah kerja rumah yang terletak lebih ke atas bahuku. Sekali sekali dapat juga aku rasakan seolah- olah aku ini tidak diperlukan sahaja di dalam rumah ini. Ini nampak jelas pada raut wajah anak- anak bapa saudaraku yang tidak manis dan mesra terhadap diriku. Begitu juga dengan memberi arahan kerja dengan nada yang agak keras. Kerja- kerja rumah seperti membasuh pinggan mangkuk, mengelap meja selepas makan, sapu halaman rumah, dan menyiran pokok adalah tugas yang wajib aku lakukan setiap hari. Serik juga aku rasakan. Tapi, ini sajalah tempat dan syurga buatku. Pahit maung, sedih, dan tangisan harus aku lemparkan jauh- jauh. Aku kena tabah. Inshaa-Allah, lambat- laun aku juga akan menjadi dewasa jika Allah SWT memanjangkan usiaku.
Setiap jumaat, selesai sahaja solat jumaat, aku akan berlari ke tanah perkuburan arwah ayah dan ibuku sambil menghadiahkan ‘Al-Fatihah’ buat kedua-duanya.ada ketika, aku macam orang kurang siuman, menceritakan keperitan dan kesengsaraan hidupku kepada mereka sambil menitiskan air mata.
Ketika aku melangkah ke darjah tiga, aku dikehendaki menjual ‘aiskrim Malaysia’ untuk dijual di sekolah. Dengan rela hati aku membawanya dengan harapan ada murid- murid yang sudi membeliya. Untuk menghilangkan dahaga di tekak, aku hanya dibekalkan ‘aiskrim’ kontot yang merupakan lebihan. Alhamdulillah, ianya merupakan rezeki buautku. Cuaca tidak sentiasa cerah dan ketika musim hujan, aku takut untuk ballik sekiranya aiskrim aku tidak habis dijual. Walaupun tidak mungkin aku dimarahi, tetapi aku sendiri yang terasa seolah- olah aku tidak berusaha untuk menjualnya. Ada ketikanya cikgu aku yang membeli kesemuanya gara- gara kasihan pada aku. Sebenarnya kisah dan nasib hidupku hampir kesemua guru sekolah telah mengetahuinya, lebih- lebih lagi aku kerap diberi bantuan roti sebagai pelajar miskin.
Tidak kurang juga ada guru yang menghulurkan 20 sen atau 30 sen agar aku dapat bersarapan di kantin ketika waktu rehat. Jika ada masa lagi sebelum loceng berbunyi sebagai tanda tamat waktu rehat, aku akan merayau sekeliling padang sekolah dengan harapan kalau- kalau ada duit syiling di celah- celah rumput. Dengan duit syiling yang dijumpai itulah yang membuatku berlari ke kantin untuk membeli makanan. Ada kalanya, aku jumpa sehingga 60 sen. Ketika itu, aku berlagak macam orang kaya, makan ‘mee’ atau ‘nasi lemak’ sampai berlahak.
Di alam persekolahan inilah aku kenal erti persahabatan. Pada peringkat awal, aku rasa agak kekok kerana sudah terbiasa bersendirian. Agak memakan masa juga untuk aku sesuaikan diri untuk bergaul dengan mereka. Di dalam kelasku, kebanyakan murid- murid memiliki taraf kehidupan yang amat berbeza dariku. Ini kerana faktor pekerjaan bapa masing- masing. Ada anak doktor, jurutera, kerani, cikgu, dan ada juga anak penarik beca. Hanya segelintir saja yang hampir sama dengan kehidupanku. Bezanya, mereka bukan yatim piatu, tetapi anak orang miskin.
Sepertimana yang telah aku ceritakan di peringkat awal, aku harus menjual aiskrim. Justeru, masa untuk aku bermain dengan kawan- kawan ketika waktu rehat amat terbatas. Ketika aku berada di darjah lima, ada seorang anak kerabat di raja melaporkan diri dan ditempatkan di kelas aku. beliau juga ditempatkan dalam asrama. Anak kerabat di raja ini kerap membeli aiskrim aku dan kerap juga dia sengaja tidak mahu mengambil duit baki yang aku pulangkan kembali kepadanya itu. Dia menyuruh aku membeli apa sahaja yang aku teringin makan di kantin dengan menggunakan baki duit tersebut. Kekerapan dia membeli aiskrimku membuatkan aku dan anak kerabat di raja ini menjadi sahabat yang sangat akrab
Suatu hari, ketika aku sedang bersandar di dinding kantin sekolah, tiba- tiba anak kerabat itu datang menghampiriku dan duduk bersebelahanku sambil berkata,
“Syed, lagi dua minggu kita akan bercuti penggal. Mahukah kamu menghabiskan cuti bersamaku di Kuala Lumpur?’
Aku agar terkejut dengan soalan yang diajukan itu, lalu aku membalasnya,
“Aku menumpang rumah bapa saudaraku. Mana mungkin aku boleh buat keputusan ini.” Begitulah jawapan serba ringkas yang aku berikan.
“Tidak mengapa, Syed. Jumaat ini saya akan ikut kamu pulang dan kita akan bersama- sama solat Jumaat di kampung kamu. Di kesempatan itulah, saya akan meminta izin dari bapa saudara kamu. Okey?”
“Baiklah. Tetapi kalau bapa saudaraku tidak mengizinkan, janganlah berkecil hati denganku nanti ya?” jawabku.
Seperti yang dijanjikan, sebaik loceng berbunyi tanda tamat kelas, kawanku pun segera ke asramanya untuk mengambil baju Melayunya untuk pergi solat bersamaku. Sebaik sahaja sampai di rumah bapa saudaraku, aku pun memperkenalkan sahabatku serta memberitahu bahawa sahabatku itu mahu solat bersama di kampung ini. Cerita untuk membawaku ke Kuala Lumpur masih belum disuarakan.
Sebaik sahaja selesai solat dan makan, sahabatku pun menyampaikan hasratnya untuk membawaku bercuti bersamanya di Kuala Lumpur. Tidak tahulah apa ayat atau doa yang telah dibacanya kerana bapa saudaraku langsung tidak membantah bahkan mengizinkan. Ternyata jelas di wajah sahabatku riak wajah ceria kerana berjaya mendapat kebenaran. Tetapi sempat juga bapa saudaraku mengajukan beberapa soalan.
“Anak nak bawa anak buah pak cik ke Kuala Lumpur untuk berapa lama?”
“Musim cuti sekolah akan datang ini, pak cik. Kami akan balik sehari sebelum tamat cuti penggal itu.” Jelas sahabatku lengkap dengan tempohnya.
Memandangkan masa tidak mengizinkan, maka sahabatku pun meminta izin untuk pulang kembali ke asramanya.
Pada hari terakhir persekolahan, aku telah siap ke sekolah dengan dua helai pakaian yang aku sumbatkan di dalam beg yang padat dengan buku- buku sekolahku. Tiada duit satu sen pun yang aku ada untuk dibawa bekal untuk perjalanan nanti. Sebaik tamat sesi persekolahan, sebuat kereta mewah yang tersergam telah menunggu di depan pintu sekolah. Belum pernah lagi aku dapat merasa menaiki kereta dan hari ini merupakan kali pertama aku dapat memasuki kereta mewah sebegitu. Selepas beberapa ketika sewaktu dalam perjalanan, aku terasa sedikit pening lalu aku muntah secara tidak sengaja. Pemandu itu segera memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan mengangkat lapik kaki serta membersihkannya di luar.
“Tak mengapa, nak. Sampai nanti, pak cik akan bersihkan ya.”
Serba salah aku dibuatnya dengan perbuatan yang aku tidak sengaja lakukan. Kawanku itu sekadar mengetawakan aku saja. Setelah menukar baju, kami pun meneruskan perjalanan. Seingat akulah, jika tidak silap tempat yang kami sampai itu namanya ‘Jalan Cambell, Kuala Lumpur’ dan kediaman itu pula tertera indah “Istana Hinggap”.
Aku dan kawanku mandi bersama dan aku juga diberi pakaiannya buat sementara waktu. Ya Allah…. Cantiknya baju ini. Lembut sungguh kainnya dan selesa apabila dipakai.
“Mungkin mahal harganya.” Bisik hatiku.
Selesai sahaja, aku diajak berjumpa dengan bondanya. Aku mencium tangannya sambil berborak buat seketika dan setelah itu, kami pun terus beredar untuk makan. Sempat juga bodannya berpesan pada anakandanya agar menjaga makan minumku dengan baik.
Sepanjang masa, ketika berada di Istana Hinggap ini, tiada sesaat pun yang membosankanku. Dengan pemberian sebuah beg, kawanku memasukkan banyak baju dan seluar untuk kegunaanku nanti. Sempat juga aku sekali- sekali mengintai dalam beg itu kerana kesemua baju itu sangat cantik dan mahal. Aku benar- benar terharu akan pemberian ikhlas dari kawanku itu.
Ketika masuk waktu malam, pemandu yang memandu dari Melaka tadi sudah tercegat di perkarangan istana untuk membawa kami keluar. SubhanAllah….. Tempat apa ini?? Aku kagum sungguh dan pada masa yang sama aku kehairanan. Tertera “Weld Swimming Pool”. Aku dibelikan dua pasang seluar mandi khas untuk berenang di dalam kolam renang itu.
Keesokan harinya pula, tertera “Green Spot Swimming Pool”. Ya Allah… Tempat sebegini amat asing bagiku. Begitulah hari seterusnya sehinggalah ke Pantai Morib untuk berkelah pula. Sungguh padat aktiviti yang dihabiskan ketika cuti sekolah kali ini. Walaupun ini merupakan kali pertama aku menaiki kereta dan menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur, tetapi aku berjaya menghafal dengan baik kesemua tempat yang telah aku lawati. Sebelum berangkat pulang iaitu sehari sebelum sekolah dibuka kembali, aku dan kawanku berjumpa dan bersalaman dengan bondanya. Tidak kurang juga aku dibekalkan dengan duit belanja. Hampir pengsan aku dibuatnya ketika duit RM 100.00 dihulurkan kepadaku. Ya Allah… Melimpah ruah rezeki aku. Diberi baju yang baik- baik dan mahal yang dibeli di gedung pakaian mewah. Kini, diberinya pula wang sebanyak RM 100. Semoga Allah SWT membalas segala kebaikan keluarga ini.
Selepas itu, pemandu kereta ini terus menghantarku betul- betul di hadapan rumah bapa saudaraku. Bapa saudaraku yang kebetulan berada di laman rumah amat terkejut melihat aku melangkah keluar dari kereta mewah itu. Kawanku pun turun sekali untuk bersalaman dengan bapa saudaraku untuk mengucapkan terima kasih kerana memberi keizinan membawaku keluar bercuti bersama. Setelah itu, mereka terus beredar untuk menghantar kawanku pulang ke asrama.
Pada malamnya, aku menceritakan setiap detik ketika berada di Kuala Lumpur dan juga di Istana Hinggap. Ceritaku amat memeranjatkan bapa saudaraku, tetapi itulah hakikatnya yang aku lalui selama dua minggu bersama sahabatku yang bertaraf ‘anak kerabat di Raja’ itu.
Persahabatan yang terjalin rapat dan akrab ini hanya bertahan sehingga penghujung darjah enam sahaja. Inilah detik perpisahan yang amat sedih dan menyayat hati kami kerana perhubungan kami yang terjalin begitu akrab sekali. Perpisahan yang tidak dapat dielakkan kerana sahabatku akan menyambung pengajiannya di luar negara bernama ‘The King’s School, Parramatta, Sydey N.S. Wales, Australia’. Inilah alamatnya dan dengan alamat inilah kami berutus surat dan berhubung. Amat malang sekali, sepucuk surat, setemnya berharga 80 sen. Maka banyak surat yang dikirimkan kepadaku, tidak dapat aku membalasnya. Aku berasa amat sedih kerana persahabatan kami terputus begitu sahaja gara- gara aku tidak mampu membeli setem.
Sahabat akrab yang aku maksudkan bernama Syed Zainal Rashid Putra Jamallulail dan adiknya, Syed Azmi Putra Jamallulail. Inilah keseronokan yang dapat aku nikmati dan tidak mungkin akan aku lupa sepanjang hayatku. Tiada siapa pun yang dapat membayangkan betapa nasibku yang miskin dan bergelar yatim piatu tetapi dapat menjejakkan kaki ke Istana Hinggap. Jalan ceritaku seperti cerita fantasi, namun begitulah kehendak dan ketentuan Allah SWT. Itulah satu- satunya keceriaan dan keseronokan yang aku dapat nikmati di sebalik azab sengsara yang aku lalui.