Seronok dan leka
aku melayan Kakak. Barang mainannya hampir memenuhi katilnya. Jalan isteriku
pula sudah mereng kiri dan mereng kanan seperti kereta yang memerlukan ‘alignment adjustment’. (Leser juga mulut
aku. Ada ke patut aku kata isteri yang sangat- sangat aku kasihi umpama alignment kereta?) Sebenarnya, aku ini
jenis yang suka bergurau. Dengan siapa lagi aku dapat bermesra kecuali isteri
dan anakku. Kedua- dua inilah penyeri hidupku.
Kini, isteriku
berbadan dua lagi, mengandungkan anak yang kedua. SubhanAllah… Aku merasakan
seolah- olah akulah manusia yang paling gembira di atas muka bumi Allah SWT
ini. Pada awal perkahwinan lagi aku telah bayangkan hasrat dan keinginanku
untuk memiliki enam orang zuriat. Tidak kurang dan tidak lebih. Itu pun jika
Allah SWT makbulkan permintaanku. Dengan enam orang anak dan aku bersama isteriku,
ini bermakna meja makanku elok saja ‘full
house’. Sama seperti mengandungkan anak pertama, sekali lagi aku ‘pos’
isteriku ke kampung apabila menghampiri lapan bulan. (Cara aku tulis macam pos
surat pula!)
Pada tanggal 25
Mei 1990, maka lahirlah seorang lagi zuriatku yang merupakan anak perempuan
juga. Aku tergesa- gesa membeli tiket bas untuk melihat anakku yang kedua ini.
Sebaik sahaja sampai di kampung, anak sulungku elok saja sedang membelek- belek
adiknya. Tanpa membuang masa, aku pun mengambil wuduk dan terus azan dan
iqomahkan anak keduaku ini. Anak keduaku ini nampak agak berbeza sedikit dari
kakaknya. Badannya bulat dan pipinya montel. Kalau dalam kategori pisang, anak
keduaku ini termasuk dalam kategori pisang montel. (Tak ada insurans betul
mulut aku ni.) Anehnya, baru berapa hari saja dilahirkan, tetapi dia sudah
bijak tersenyum. Memandangkan badannya agak bulat dan keadaan fizikalnya yang
agak lembik seolah- olah tanpa tulang, orang yang tidak biasa dengan bayi pasti
akan kekok mendukungnya. Bagiku tidak ada masalah. Aku boleh ‘handle’ apa sahaja fizikal bayi. Kata
orang putih, ‘Experience that counts.’
Aku tetap
bersyukur pada Allah SWT. Ini merupakan nikmat, rezeki, dan anugerah Allah SWT
yang perlu aku jaga dengan sebaik mungkin. Aku lihat Kakak sudah cerdik
sedikit. Dia sudah boleh diharapkan untuk membuai buaian adiknya, tetapi
sekali- sekala kena tengok- tengok juga. Maklumlah kanak- kanak, takutnya
dibuainya dengan ‘maximum speed’.
Habis sahaja berpantang,
kami empat beranak pun pulang kembali ke Melaka. Usia anak keduaku belum
meningkat tiga bulan, Allah SWT telah mengurniakan sedikit rezeki, maka
dapatlah aku membeli sebuah kereta ‘second
hand’. Dengan adanya kereta, dapatlah aku menghantar anak ke klinik dan
juga bersiar- siar mahupun ke pejabat.
Ya Allah..
Terlupa pula aku hendak memberitahu nama anak keduaku ini. Namanya Syarifah
Mastura Binti Syed Abdullah. Maka, membesarlah kedua- dua anak kami ini yang
kami belai dengan penuh kasih sayang. Setiap anak dijanjikan rezeki buatnya.
Begitu jugalah rezeki kami. Dengan kehadiran kedua- duanya, maka rezeki kami
datang mencurah- curah. Bertambah berserilah rumah tangga kami yang dipenuhi
dengan gelak ketawa dan gurau senda serta telatah anak- anak kami. Kakaklah
yang kelihat begitu seronok sekali sehingga menyikat rambut adiknya pun
dilakukan dengan cermat.
Ketika kami
sekeluarga bersantai di pantai mahupun di gedung beli- belah, ramai yang
mencuit pipinya dan ada yang terus mendukung anak- anak kami tanpa meminta
izin.
“Anak- anak ini
kembar ke?” Soalan yang sama aku terima setiap kali orang melihat kedua- dua
anakku.
“Buta ke mata mereka ini?” Aku bersunggut
di dalam hati.
Jarak kelahiran
antara Kakak dan Mastura genap dua tahun. Tapi tak salah pun anggapan mereka.
Memang anak kami hampir seiras. Tak kisahlah itu semua, yang afdalnya, aku
wajib banyak bersyukur dengan kurniaan ini.