Pages

24 March 2015

BAB 26 : ALAM PERKAHWINAN


            Lama juga aku menduda kerana ketika itu aku tidak terlintas hendak berumah tangga lagi. Bukankah urusan jodoh juga ketentuan Allah SWT? Justeru, dengan izinNya, tanpa merancang dan bertemu, aku dicarikan jodoh. Maka pada tanggal 19 Disember 1987, kami telah pun selamat diijab kabulkan. Gadis yang berasal dari utara Sik, Kedah. Sharifah Asma Binti Syed Mohamed sah menjadi isteriku. Ketika itu, isteriku merupakan guru terengkas. Begitu juga silibus yang kesemuanya berada di bawah naungan dan kelolaan Institut Yayasan Terengkas yang beribu pejabat di Alor Setar, Kedah.
            Pada peringkat awal, aku terpaksa berulang- alik dari Melaka ke Sik, Kedah. Perjalanan yang agak jauh dan memenatkan. Demi sebuah rumah tangga yang baru dibina, isteriku mengorbankan kerjayanya dan membuat keputusan untuk menamatkan saja kelas terengkas untuk menetap di Melaka. Setelah selesai urusannya, maka isteriku pun meninggalkan kedua ibu bapanya di kampung dan mengikutiku ke Melaka untuk memulakan kehidupan baru di alam perkahwinan.
            Kehidupan rumah tanggaku pada peringkat awal banyak kekurangannya. Rumah pun merupakan rumah sewa kampung. Pada masa itulah kami mula membeli keperluan sedikit demi sedikit. Makan minum pun tak perlu untuk memasak pelbagai lauk memandangkan yang hendak makan hanya kami berdua sahaja. Mudahlah kami berdua yang ala kadar dan sekali sekala makan di luar sahaja. Masa kami banyak terluang dengan menonton televisyen sambil memakan kacang. Ketika itu, rumah masih sunyi kerana tidak mempunyai zuriat. Dengan keadaan yang masih belum sempurna, kami harungi rumah tangga dengan aman dan penuh kasih sayang. Namun, jauh di sudut hatiku, aku impikan kehidupan yang agak selesa dengan mempunyai rumah sendiri disamping zuriat yang sederhana ramai. Rumah yang tidak terlalu besar tetapi memadailah untuk menaungi keluarga dan zuriat jika diizinkan oleh Allah SWT.
            Pada suatu malam, aku mengambil sehelai kertas dan sebatang pen lalu mengajak isteriku melihat coretanku yang merupakan impianku di atas kertas. Di atas kertas itulah aku rajahkan sebuah rumah lengkap dengan kolam serta hiasan dalaman untuk menceriakan suasana rumah itu nanti. Tidak cukup dengan itu, aku gambarkan pula sebidang tanah yang luas untuk bercucuk tanam dan menternak itik, ayam, dan kambing. Isteriku sekadar mengiyakan sahaja setiap yang aku coretkan di kertas itu. Dia amat khusyuk umpama seorang pensyarah menerangkan sesuatu kepada pelajarnya. Apabila aku tanya sama ada setuju atau atau tidak dengan  perancangan dan impianku, yakin atau tidak, dia hanya menjawab “Inshaa-Allah”. Sepuluh kali ditanya, sepuluh kalilah jawapan sama yang aku terima. Begitulah keadaanya sehingga aku mula berasa mengantuk.

            Coretan dan rajah yang aku lakarkan itu, aku simpan dengan baik. Dengan izin Allah SWT, aku akan merealisasikan impianku. Aku tidak boleh berangan kosong seperti Mat Jenin tetapi aku perlu berusaha ke arah impian itu. Begitulah kuatnya semangatku. Namun, yang agak melucukan, coretan di atas kertas memang nampak gah, tetapi motosikal yang ada pun milik kawan yang sudi meminjamkannya untukku.

Terima Kasih

23 February 2015

BAB 25 : KENAIKAN PANGKAT

Lulusnya aku dalam peperiksaan juruteknik sekaligus melayakkan aku memohon jawatan tersebut. Kelulusan akedemik L.C.E yang aku miliki sudah tidak di ambil kira lagi. Sebaliknya, peperiksaan yang lulus itu sudah membuat aku setaraf dengan juruteknik yang berkelulusan Politeknik Ungku Omar. Maha suci Allah SWT yang mengatur perjalanan setiap hambaNya. Begitu juga rezeki dan lain- lainnya. Tidak sampai setahun, aku telah memohon jawatan juruteknik. Aku dipanggil untuk temu duga dan terus menyandang jawatan tersebut.
            Kini, aku kelihatan ‘smart’ seperti bintang filem. Maklum saja sudah mencari rezeki sendiri serta sudah boleh membeli baju dan seluar yang bersesuaian dengan kemampuanku. Alhamdulillah, sedikit demi sedikit, setapak demi setapak dapat juga juga aku nikmati kesenangan hidup. Aku kerap berdoa kepada Allah SWT agar aku sentiasa ingat untuk sujud kepadaNya ketika susah mahupun senang dan aku amat takut jika aku termasuk dalam golongan hamba yang kufur nikmat.
            Azamku terlalu kuat untuk meningkat dalam kerjaya. Aku diberi peluang untuk menambahkan ilmu dalam bidang teknikal di Technical College di Jalan Gurney, Kuala Lumpur (Kini UTM Jalan Semarak). Aku meninggalkan pengajianku separuh jalan untuk menumpukan tugas untuk memohon pula jawatan Juruteknik Tingkatan Kanan. Aku lebih suka cara begini daripada belajar di Technical College untuk menggenggam segulung Diploma mahupun Ijazah. Cukup sahajalah aku dengan sehelai sijil L.C.E. Tuan Pengarah, Jurutera Kanan, dan semuanya memberi aku perangsang dan semangat agar aku terus maju. Kini, aku sekali lagi menduduki kertas peperiksaan untuk melayakkanku ke jawatan Juruteknik Tingkatan Kanan.
            Peperiksaan ini sama seperti peperiksaan terdahulu. Aku harus menunggu selama enam bulan untuk mendapatkan keputusannya. SubhanAllah… Aku telah berjaya membuktikan sekali lagi kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan ini. Dengan lulusnya peperiksaan ini, aku dipindahkan dan ditempatkan di JKR Cawangan Tentera, Kem Terendak Melaka dan seterusnya di Bandar Baru Serting, Bahau Negeri Sembilan. Kini, kedudukan jawatanku telah meninggalkan juruteknik- juruteknik lain ke belakang. Ada yang masih kekal dengan jawatan tersebut tanpa kenaikan pangkat dan ada juga telah diberhentikan atau dibuang kerja.

            Semasa di Seremban, dalam kesibukan masa, aku juga sempat mendirikan rumah tangga. Namun, isteriku meninggal dunia dengan meninggalkan zuriat lelaki bernama Syed Muzaffar bin Syed Abdullah.

Terima Kasih

>
© DI SEBALIK CERITA INI | Design By Blog Bingkisan Hati