Pages

6 February 2015

BAB 13 : MENDAPAT SURAT TEMU DUGA

            Baru nak berjinak- jinak dan bermanja di perantauan, tiba- tiba pula ada berita dari Melaka mengatakan bahawa ada surat temu duga untukku. Isi kandungannya pula tidak pula diberitahu. Jawatan apa? Bila tarikhnya? Semuanya tidak diberitahu pula. Hanya mengatakan bahawa ada surat temu duga sahaja.
            Tanpa bertangguh, saudaraku pun membelikan tiket bas ekspres ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke Melaka. Aku dibekalkan dengan duit belanja sebanyak RM 50. Jumlah keseluruhan termasuk yang aku simpan sudah mencapai RM 85.50. Aku berasa seolah- olah aku sudah kaya dengan memiliki duit sebanyak itu.
             Tepat jam 11 pagi, aku pun memulakan perjalananku untuk pulang ke Melaka. Buat pertama kalinya aku merasakan nikmat menaiki bas dalam perjalanan yang jauh ini. Sesekali aku membelek duit di dalam dompet yang pastinya melebihi untuk membeli apa sahaja makanan yang aku inginkan.
Di dalam bas, aku tertanya- tanya juga tawaran kerja apakah yang ditawarkan untuk temu duga itu? Ketika asyik berangan dan fikiran sudah melayang jauh, aku tidak sedar bahawa aku sudah sampai ke terminal di Kuala Lumpur. Lama betul aku mengelamun. Tanpa berlengah masa, aku cepat- cepat mencari bas. Gayaku ketika itu tak ubah seperti ‘rusa masuk kampung’. Alhamdulillah, akhirnya aku jumpa juga bas dan terus menaikinya. Aku sampai ke terminal bas di Melaka hampir pukul 12 tengah malam. Aku tidak perlukan bas atau teksi untuk terus ke Bandar Kaba kerana ketika itu perkhidmatan pun sudah tamat. Teksi ada tapi harganya benar- benar ‘memotong leher’ sedangkan jaraknya bukanlah jauh sangat. Justeru, aku lebih memilih untuk berjalan kaki sahaja yang hanya memakan masa tidak sampai setengah jam. Memandangkan badan  terlalu letih dan semua pun sudah tidur, aku pun merebahkan badan dan terus terlelap sebaik sahaja sampai ke rumah.
Keesokan harinya, aku diberi surat temu duga itu. Aku mengoyaknya sampul surat yang tertera “Urusan Kerajaan” itu dengan tergesa- gesa kerana tidak sabar untuk mengetahui apakah jawatan yang ditawarkan itu.

                   Jawatan : Juruteknik Rendah.
                   Tarikh : 6 Mei 1970.
                   Tempat : Bilik Gerakan Seri Negeri Melaka, Pejabat Setiausaha Kerajaan Melaka.

              Ketika itu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Melaka terletak di atas Bukit St.Paul. Dalam surat itu menyatakan bahawa aku dikehendaki membawa sijil- sijil asal, sijil berhenti sekolah, dan lain- lain yang berkaitan. Aku sediakan semua dokumen mengikut urutan keperluan.
                   Dalam keadaan ghairah dan seronok, terlintas juga apa persiapan dan soalan yang bakal ditanya. Semua ini membuatku berasa susah hati dan kepala mula berserabut. Ini merupakan kali pertama aku akan menghadiri sebuah temu duga. Bagaimana pula dengan pakaian yang harus aku pakai pada waktu itu nanti? Pakaian yang sedia ada pun hasil pemberian orang dan kesemuanya agak lusuh.
                  Aku mengadukan hal ini kepada ibu saudaraku. Akhirnya ibu saudaraku menyarankan agar aku memakai sahaja baju bapa saudaraku yang lebih elok sedikit berbanding baju yang aku miliki. Seluar panjang yang agak terkoyak sedikit di kiri, kanan, dan belakang poket ditampal dan dijahit oleh ibu saudaraku pada malam itu juga. Alhamdulillah… Cukuplah dengan apa yang aku ada. Cuma baju dan seluar itu agak besar sedikit kerana bapa saudaraku agak gemuk orangnya.

              Aku cuba padankan dengan baju yang aku pakai dengan tali leher. Baju putih lengan panjang, seluar hitam bertampal dan tali leher berjalur. Macam hero pun ada. Macam badut pun ada. Tak kisahlah semua itu. Yang penting, itulah pakaian aku yang terbaik dan aku pasti akan memakainya pada hari temu duga itu nanti waluapun agak lawak di mata orang lain.

Terima Kasih

5 February 2015

BAB 12 : KEHIDUPAN DI KUALA TERENGGANU

Episod perjalanan hidupku telah membawaku sehingga ke Kuala Terengganu. Di rumah saudaraku ini, aku berasa amat kekok kerana layanan mereka yang sangat baik terhadapku. Makan minumku yang diberikan, kadang- kala membuatku terpaksa menolak. Badan yang kurus kering pun boleh jadi gemuk dalam sekelip mata jika asyik disogokkan dengan makanan sahaja. Memandangkan aku sudah biasa membuat kerja, aku tetap menjalankan kerja harianku seperti biasa walaupun tidak disuruh kerana aku ini sudahlah menumpang di rumah ini tanpa apa- apa bayaran. Apa salahnya jika aku ingin membantu. Jika duduk diam sahaja tanpa berbuat apa- apa, badanku menjadi bisa- bisa dan otak pun menjadi beku.
Pada satu petang, sebaik sahaja saudaraku balik dari kerja, dia terus menyuruhku bersiap segera dan mengikutnya ke Padang Golf.
“Abdullah, cepat siap! Boleh ikut Ami ke padang golf.” Arahnya dengan tergesa- gesa.
Fulamakkk… Padang golf… Nak ajar aku main golf ke?” getus hatiku.
Perkataan golf pun belum pernah aku sebut dan dengar sebelum ini. Kini, aku dipelawa pula ke padang golf itu.
Sebaik sahaja sampai ke padang golf, aku diminta untuk menurunkan sebuang beg yang panjang berisi kayu dan batang besi untuk kegunaan permainan golf itu nanti. Rupa- rupanya, tugasku hanyalah mengheret beg yang golf itu dan sekali sekala aku menyandangnya di atas bahuku.
Boleh tahan berat beg ni.” aku merungut di dalam hati.
Seterusnya aku harus memberi kayu atau batang besi golf itu kepada saudaraku jika dia memintaku berbuat sedemikian. Pening aku dibuatnya. Lain kayu, lain nombornya. Begitu juga dengan batang besi atau ‘iron’ yang kerap disebut di kalangan pemain golf itu. Patutlah ‘wood’ dan ‘iron’ itu berbeza saiznya.
Pukul… Jalan…. Pukul… Jalan…. Itulah yang kerap dilakukan oleh bapa saudaraku setelah memukul bola masuk ke dalam lubang. Setiap kali pukul, terpaksa berjalan sehingga 500 meter. Apalah seronoknya permainan ini. Bagiku, permainan ini amat bosan. Aku pun ketika itu sudah ada kawan yang tugasnya pun sama sepertiku. Dengan selamba aku bertanya.
“Saudara, kerja yang kita buat ini apa jawatanya ya?”
“Keddy, saudara.” Pendek sahaja jawapan yang diberikan.
Banyak betul ilmuku. Lain rumah, lain tugasnya. Lain negeri, lain pula jawatanku. Tak sampai sebulan, aku sudah pandai menghulurkan batang golf tampa perlu menyebut nombor batang tersebut. Ini baru sebulan, kalau enam bulan pasti aku sudah bertaraf ‘Pro’.
Kawan yang aku tegur itu tadi tiba- tiba bersuara seperti berbisik di telingaku.
“Saudara, permainan ini orang macam kita tak boleh main.” Katanya dengan nada berbisik.
Sebelum dia smpat bercakap dengan lebih lanjut, aku pun cepat- cepat menyampuk.
“Memang pun, saudara. Mereka berpangkat besar. Kita kucing kurap hanya layak buat kerja seperti ini sahaja.” balasku agar dia faham.
“Bukan kira pangkat, saudara. Saudara tahu tak Golf itu apa maksudnya?” tanyanya padaku.
Manalah aku tahu. Aku baru beberapa hari sahaja berada di padang ini.
“Apa maksudnya?” soalku kembali dengan nada ingin tahu.
“Saudara…… Saudara perasan tak. Pukul bola, selepas itu berjalan. Kemudian, pukul lagi supaya masuk ke dalam lubang dan seterusnya sama sahaja sehinggalah menginjak waktu magrib. Orang- orang ini semua, otaknya ada masalah.” Selamba sahaja dia menjawab seakan- akan mengutuk.
“Saudara, G.O.L.F itu maksudnya “Golongan Orang Lemah Fikiran”. Sebab itulah saya kata kita tak layak untuk bermain permainan ini.” Jelasnya lagi agar aku mengerti maksud yang cuba disampaikan itu.
“Ishh… Kalay bos saudara dengar kata- kata saudara itu, dengan batang golf ini juga ang akan hinggap ke kepala saudara nanti.” Tegurku.
“Dah.. Jangan cerita banyak. Ayuh tarik beg ini.” Kataku lagi.
Aku pun menarik beg dan meninggalkan dia. Banyak pula songeh Keddy ni. Kalau bos dia lemah fikiran, dia dan aku ini apa pula penyakit dan kelemahannya?
Walaupun air muka saudaraku ini seolah- olah seperti ‘singa sarkas’, tetapi dia tidak pernah lokek untuk memberi upah penat lelahku ini. Ada sahaja habuanku. Dengan duit inilah aku belajar berjimat cermat dan mengumpulkannya untuk masa akan datang.
            Jika hari cuti, aku diberi peluang untuk menonton wayang di pawagam. Tiket pun bukan tempat duduk yang ada pijat- pijat, tetapi aku diberi tempat duduk di tingkat atas atau nama ‘glamour’nya disebut sebagai ‘Circle Seat’. Kalau tak salah, panggung wayang itu betul- betul bertentangan dengan Hotel Livo. Ketika itu, Hotel Livo inilah yang paling gah dan merupakan satu sahaja hotel yang ada di Kuala Terengganu. Di sebelah kiri pula terdapat jalan yang menghala ke Jalan Bukit Cina.

            Aku masih mengingati tempat- tempat ini walaupun masa yang berlalu sudah hampir 45 tahun.

Terima Kasih

>
© DI SEBALIK CERITA INI | Design By Blog Bingkisan Hati